Debut Sukan Olimpik 'langkah besar' dalam karier Nurul Izzah Izzati
Bernama
April 24, 2024 05:45 MYT
April 24, 2024 05:45 MYT
KUALA LUMPUR: Bintang muda berbasikal trek negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menyifatkan penampilan sulungnya pada Sukan Olimpik 2024 di Paris sebagai 'langkah besar' dalam kariernya.
Pelumba berusia 20 tahun itu berkata menjadi impian setiap atlet untuk layak ke temasya sukan berprestij berkenaan dan dia bertekad bekerja keras bagi mempamerkan prestasi terbaik pada kejohanan yang akan berlangsung dari 26 Julai hingga 11 Ogos depan.
"Satu langkah besar untuk saya yang akan berada di barisan hadapan. Saya harap kerjaya saya tidak akan berakhir di sini, ini hanya permulaan untuk saya mengorak langkah ke hadapan.
"Masih banyak perkara yang perlu saya pelajari dalam kerjaya ini, tiada yang mustahil saiz bukan satu-satunya ukuran kejayaan," katanya menerusi hantaran di laman Instagramnya pada Rabu.
Pada Selasa, Timbalan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) Datuk Amarjit Singh Gill mengesahkan Datuk Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati layak ke Olimpik secara rasminya bagi acara keirin dan pecut.
Ini menjadikan empat atlet berbasikal Malaysia akan bertanding pada temasya di Paris selepas Nur Aisyah Zubir sebelum ini mendapat tempat dalam berbasikal lebuh raya, sekali gus mencipta sejarah sebagai pelumba wanita pertama negara bersaing dalam acara itu di Olimpik.
Mereka akan mengiringi penerjun Bertrand Rhodict Lises, Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah) dan Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat) yang sebelum ini mengesahkan tempat mereka ke Olimpik.
-- BERNAMA