'Debut' Mbappe di La Liga tidak seperti diharapkan

Sinar Harian
Ogos 19, 2024 12:40 MYT
Mbappe dilanda kekecewaan penampilan sulungnya dalam saingan La Liga apabila Real Madrid diikat 1-1 oleh Real Mallorca. - Gambar/ Reuters
KYLIAN Mbappe dilanda kekecewaan penampilan sulungnya dalam saingan La Liga apabila Real Madrid diikat 1-1 oleh Real Mallorca di Estadi Mallorca Son Moix pada awal pagi Isnin.
Beberapa peluang dimiliki bintang Perancis itu digagalkan oleh penjaga gol Mallorca, Dominik Greif selepas Rodrygo Goes meletakkan Madrid mendahului pada minit ke-13.
Tuan rumah kemudiannya menyamakan kedudukan pada separuh masa kedua menerusi tandukan Vedat Muriqi.
"Kami mendahului, kami mempunyai peluang untuk menjaringkan gol kedua, dan kemudian pada separuh masa kedua kami kekurangan keseimbangan.
"Kami melepaskan serangan balas. Ia bukan permainan yang bagus dan ia adalah permainan yang agak jelas untuk melihat bahawa kami perlu bertahan dengan lebih baik dan mempunyai keseimbangan yang lebih baik di atas padang," kata jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti.
Ancelotti memilih kesebelasan utama yang sama ketika menewaskan Atalanta untuk memenangi Piala Super UEFA pada Rabu, dengan Jude Bellingham di bahagian tengah di belakang barisan serangan Mbappe, Vinicius Junior dan Rodrygo.
"Kami perlu melakukan lebih baik dan dengan lebih banyak komitmen
"Perlawanan ini boleh membantu kami belajar banyak perkara, ia adalah permainan yang agak jelas di mana kami menghadapi masalah.
"Mallorca mempunyai permainan yang sangat bagus dalam erti kata bertahan, lebih baik daripada kami," katanya. - Sinar Harian
#Kylian Mbappe #Real Madrid #penampilan pertama #keputusan perlawanan