De Kleijn kuasai peringkat pertama LTdL 2023
Bernama
September 23, 2023 18:00 MYT
September 23, 2023 18:00 MYT
KUALA TERENGGANU: Pelumba Tudor Pro Cycling Team, Arvid de Kleijn mempamerkan kayuhan cemerlang sekali gus menjuarai saingan peringkat pertama Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 dari Kerteh ke Dataran Shahbandar, di sini hari ini.
Pelumba kelahiran Belanda itu melepasi garisan penamat dalam satu kelompok besar dengan catatan empat jam 25 minit 48 saat meliputi jarak kayuhan 187.4 kilometer (km).
Pelumba berusia 29 tahun itu menewaskan pelumba Human Powered Health Sasha Weemaes di kedudukan kedua, sementara Gleb Syritsa daripada pasukan Astana Qazaqstan Team di tempat ketiga.
"Penamat pada hari ini adalah sangat sibuk dengan setiap pelumba masih segar di peringkat pertama dan di akhir satu km saya tidak bersama-sama rakan saya dan perlu mencari jalan sendiri saya mengejar dari jauh dan sekadar cukup untuk menang, " katanya selepas tamat perlumbaan.
Kemenangan hari ini dalam masa sama menyaksikan beliau menyarungkan Jersi Oren (Raja Pecut) dengan mengumpul 15 mata di depan Weemaes (12 mata) dan Syritsa (9 mata).
Sementara Jersi Putih selaku pelumba terbaik Asia menjadi milik Tegshbayar Batsaikhan daripada pasukan Roojai Online Insurance.
Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff pula memulakan langkah kanannya di saingan LTdL, menyambar Jersi Polka Dot (Raja Bukit) selepas menguasai zon pendakian di Jerangau dan memungut mata di zon pendakian Sekayu.
"Memang saya rancang untuk mengambil dua mata di dua dua zon pendakian berkenaan cuma di Sekayu, Batsaikhan pergi secara mengejut, tapi saya tak cuba mengejar dia, cukup hanya menjaga posisi bagi menambah mata," katanya.
-- BERNAMA