De Jong mahu kekal di Barca daripada sertai Manchester United

Astro Arena
Jun 1, 2022 11:38 MYT
Frenkie de Jong ketika beraksi dalam perlawanan La Liga Sepanyol antara Barcelona dan Villarreal di stadium Camp Nou, Barcelona, Sepanyol, 22 Mei 2022. (Foto AP)
FRENKIE de Jong meluahkan keinginannya untuk kekal di "kelab impiannya", Barcelona, daripada menyertai Manchester United.
Pemain kebangsaan Belanda itu kini sedang hangat dikaitkan untuk ke Old Trafford yang akan mempertemukannnya semula dengan bekas ketua jurulatihnya, Erik ten Hag.
De Jong memenangi gelaran Eredivisie dan Piala KNVB di bawah kendalian Ten Hag sewaktu bersama Ajax dan dia juga membantu pasukan gergasi Amsterdam itu mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL) tiga tahun lalu.
Pemain berusia 25 tahun itu memberitahu ESPN mengenai keinginannya untuk kekal berada di Barca.
"Saya lebih memilih untuk bersama Barcelona.
"Barcelona adalah kelab impian saya sejak dari kecil. Itu yang saya boleh katakan.
"Saya tidak pernah menyesal dengan keputusan ini walaupun sebenarnya saya berharap mendapatkan lebih daripada segi kejayaan yang telah saya capai setakat ini.
"Tetapi saya tidak pernah menyesal dengan keputusan saya," katanya.
De Jong, yang meninggalkan negaranya untuk menyertai Blaugrana pada 2019, turut berkata masih tiada sebarang komunikasi di antara pihaknya dan Manchester United.
"Apa yang boleh saya katakan, masih tiada apa-apa kesepakatan atau sesuatu yang rasmi.
"Buat masa ini, langsung tiada sebarang perbincangan.
"Saya tidak menyedari apa-apa yang berlaku. Atau mereka masih belum memberitahu saya tetapi saya tidak fikir ia seperti itu," tambahnya.
#Frenkie de Jong #Manchester United #Erik ten Hag #barcelona
;