De Gea ucap selamat tinggal kepada Manchester United
Astro Arena
Julai 9, 2023 09:43 MYT
Julai 9, 2023 09:43 MYT
DAVID de Gea telah mengumumkan dia meninggalkan Manchester United sebagai ejen bebas selepas 12 musim di Old Trafford.
Kontrak pemain berusia 32 tahun itu dengan United tamat pada penghujung Jun, tanpa perjanjian baharu dipersetujui walaupun perbincangan telah berlangsung sepanjang musim.
Dalam mesej di media sosial, De Gea berterima kasih kepada penyokong United atas sokongan mereka berkata, "Sekarang, inilah masa yang sesuai untuk menyahut cabaran baharu, untuk mendorong diri saya semula dalam persekitaran baharu."
Apabila kontrak De Gea tamat Jumaat lalu, United berkata mereka masih berbincang dengan penjaga gol Sepanyol itu.
Ia disusuli laporan bahawa De Gea telah menandatangani lanjutan kontrak namun kelab mengambil keputusan untuk menarik balik tawaran tersebut.
De Gea menulis, “Saya ingin merakamkan rasa terima kasih dan penghargaan yang tidak berbelah bahagi atas kasih sayang selama 12 tahun yang lalu. Banyak yang kami capai sejak Sir Alex Ferguson yang saya sayangi membawa saya ke kelab ini.
“Saya berasa bangga setiap kali menyarung jersi ini, untuk mengetuai pasukan, mewakili institusi ini, kelab terbesar di dunia adalah penghormatan yang hanya diberikan kepada beberapa pemain bola sepak yang bertuah.
“Ia adalah tempoh yang tidak dapat dilupakan dan berjaya sejak saya datang ke sini. Saya tidak menyangka daripada meninggalkan Madrid sebagai budak muda, kami akan mencapai apa yang kami lakukan bersama.
“Manchester akan sentiasa berada di hati saya, Manchester telah membentuk saya dan tidak akan pernah meninggalkan saya. Kami telah melihat semuanya.”
Pengendali United, Erik ten Hag, dilaporkan bakal mendapatkan khidmat penjaga gol baharu dalam jendela perpindahan ini, dengan perjanjian untuk Andre Onana dari Inter Milan dikatakan hampir dimeterai.