De Gea kekal di United hingga 2023

Astro Arena
September 17, 2019 12:19 MYT
Pemain kebangsaan Sepanyol itu, yang membantu United menjuarai Liga Perdana musim 2012-13, pernah dikaitkan untuk menyertai Real Madrid, Paris Saint-Germain (PSG) dan juara Serie A, Juventus. - Gambar fail/REUTERS
DAVID de Gea komited meneruskan masa depannya bersama Manchester United dengan menandatangani perjanjian baru hingga Jun 2023, demikian disahkan kelab Liga Perdana Inggeris berkenaan.
De Gea, 28, dikhabarkan akan menamatkan kontraknya pada penghujung musim ini, namun penjaga gol itu memilih untuk kekal di United dengan menandatangani kontrak lanjutan selama empat tahun.
Pemain kebangsaan Sepanyol itu, yang membantu United menjuarai Liga Perdana musim 2012-13, pernah dikaitkan untuk menyertai Real Madrid, Paris Saint-Germain (PSG) dan juara Serie A, Juventus.
Namun, segala keraguan mengenai masa depannya itu sudah terjawab dengan De Gea kini boleh melanjutkan tempoh perkhidmatannya di Old Trafford kepada 13 tahun jika tempoh tambahan setahun dalam kontrak barunya itu diaplikasikan.
"Ia merupakan satu keistimewaan untuk menghabiskan lapan tahun di kelab yang hebat ini dan peluang untuk meneruskan kerjaya saya di Manchester United adalah satu penghormatan," katanya dalam laman web rasmi pasukan.
"Sejak saya tiba di sini, saya tidak pernah membayangkan dapat beraksi dalam 350 perlawanan buat kelab ini.
"Kini, masa depan saya sudah dimuktamadkan, apa yang saya mahukan adalah membantu pasukan ini untuk mencapai kejayaan yang mana saya percaya kami mampu memenangi trofi kembali secara bersama-sama.
"Sebagai salah seorang pemain senior, saya mahu menyokong dan membimbing apa sahaja yang saya mampu untuk membantu pemain muda agar mereka tahu apa maknanya untuk berada di sini.
"Saya berasakan masih banyak yang saya boleh kecapi di kelab ini dan saya amat percaya Manchester United boleh membina kembali tradisi kelab ini untuk meneruskan kejayaan sebagai hadiah buat penyokong kami.
"Saya bersedia untuk terus membalas sokongan peminat selepas semua kasih sayang yang mereka curahkan buat saya semasa waktu baik dan waktu sukar," katanya.
Laporan mendapati kontrak baru de Gea itu bernilai €222,000 (RM1.02 juta) seminggu untuk menjadikannya sebagai penjaga gol dengan bayaran tertinggi setakat ini.
Pemain bintang itu, yang sedang merebut tempat dengan penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga, dalam skuad Sepanyol, hampir meninggalkan United untuk menyertai Madrid pada 2015, namun kelewatan penyerahan kertas kerja menafikan keinginannya itu.
De Gea meraih Anugerah Sarung Tangan Emas Liga Perdana Inggeris musim 2017-18 dan pernah dilabel sebagai penjaga gol terbaik di dunia walaupun melalui musim lalu dengan amat mengecewakan.
Kontrak barunya itu pasti akan meningkatkan keyakinan pengurus pasukan itu, Ole Gunnar Solskjaer, dengan The Red Davils kini menduduki tangga keempat liga selepas mengutip lapan mata daripada lima perlawanan pertama.
Sepanjang penglibatannya di United, De Gea juga telah menjulang trofi Piala FA, Piala EFL dan Liga Europa.
Solskjaer percaya pemain itu akan menjadi watak penting dalam usahanya untuk mengembalikan Manchester United ke zaman kegemilangannya.
"Saya gembira apabila David menetapkan masa depannya untuk kelab ini.
"Dalam beberapa tahun ini, David telah membuktikan keupayaannya selaku yang terbaik di dunia dan watak penting dalam rancangan kami untuk membawa Manchester United kembali ke tempat yang sepatutnya.
"David adalah seorang yang luar biasa dan kualiti cemerlangnya akan menjadi asas sempurna buat barisan pertahanan kami.
"Sepanjang berada di sini, dia benar-bernar memahami nilai untuk menjadi seorang pemain Manchester United dan mempunyai segala-galanya yang diperlukan sebagai seorang penjaga gol," katanya.
#Chelsea #David de Gea #Liga Perdana Inggeris #Manchester United #penjaga gol Manchester United #Piala FA #Real Madrid
;