De Bruyne mahu Foden kekal di City
Astro Arena
April 4, 2019 08:10 MYT
April 4, 2019 08:10 MYT
MANCHESTER CITY 2 CARDIFF CITY 0
Kevin De Bruyne mahu Phil Foden kekal di Manchester City untuk jangka panjang selepas pemain berusia 18 tahun itu melakukan penampilan penuh pertamanya ketika menewaskan Cardiff City, awal pagi tadi.
Skuad kendalian Pep Guardiola itu melonjak ke puncak Liga Perdana Inggeris dengan satu mata di depan Liverpool selepas gol daripada De Bruyne dan Leroy Sane memastikan kemenangan 2-0 di Stadium Etihad.
Foden melakukan percubaan yang dua kali dinafikan penjaga gol lawan, Neil Etheridge, manakala satu lagi terkena tiang ketika dia memaparkan aksi luar biasa di jentera tengah City dalam penampilan pertamanya selaku kesebelasan utama.
Sebelum ini, terdapat pandangan yang mahukan Foden mengikuti jejak Jadon Sancho untuk meninggalkan City bagi memperoleh lebih peluang dalam pasukan utama di luar negara sebelum dia menandatangani kontrak baru sehingga penghujung 2024.
Bagaimanapun, De Bruyne mahukan rakan sepasukannya itu kekal menikmati perjalanan kariernya yang panjang dengan kelab kelahirannya itu selagi dia berasa gembira.
"Dia melakukannya dengan sangat baik. Dia amat berbakat," katanya kepada Sky Sports.
"Saya tahu terdapat banyak tekanan yang dilaluinya untuk beraksi, namun dia beraksi baik. Pasukan kami bertaraf dunia. Untuk menyertai pasukan ini, anda perlu membuktikan kemampuan diri.
"Itu yang sedang dilakukannya ketika turun beraksi. Dia perlu berusaha keras dan membantu kami meraih kejuaraan.
"Jika dia gembira dan memperoleh peluang yang mencukupi, dia sepatutnya kekal di sini dan terus berusaha keras. Bagaimanapun, ia terpulang kepadanya untuk membuat keputusan," katanya.
Foden gembira kerana diberikan peluang untuk membarisi kesebelasan utama walaupun dia agak kecewa kerana gagal menghasilkan gol.
"Ia merupakan impian jadi kenyataan untuk bermula sebagai kesebelasan utama dalam Liga Perdana. Saya memerlukan sedikit tuah Kev hari ini! Saya rasa ia mungkin boleh berlaku.
"Saya berasa ia bukan hari saya, namun saya tidak kisah selagi pasukan ini menang. Ia amat bagus untuk mempelajari sesuatu daripada Kev dan David (Silva) di posisi itu. Saya sedang menikmatinya," katanya.
Gol De Bruyne terhasil selepas dia melakukan rembatan deras ke bahagian atas gawang Ethridge ketika dia menggunakan ruang sempit ke sebelah kiri kawasan penalti dan pemain kebangsaan Belgium itu mengakui jaringan tersebut tidak disengajakan.
Ditanya sama ada dia merancang untuk menghasilkan penyudah seperti itu, De Bruyne menjawab: "Tidak, tidak langsung! Namun, apa yang penting, ia tetap dikira.
"Saya mahu merembat kencang di depan penjaga gol dan perlu melakukan pusingan. Adakalanya ia berjaya, adakalanya tidak.
"Kami mahu bermula baik seperti ketika menentang Fulham dan kami berjaya melakukannya. Kami sepatutnya menjaringkan dua atau tiga gol lagi.
"Saya berasakan kami mendominasi perlawanan, mencipta lebih peluang dan sepatutnya memperoleh keputusan lebih baik berbanding 2-0."
De Bruyne tersenarai dalam kesebelasan utama Liga Perdana buat kali ke-10 musim ini selepas mengalami siri kecederaan dengan yang terbaru kecederaan paha.
"Musim saya berlangsung panjang. Ia seperti dua kali ganda berbanding pemain lain. Saya berusaha keras untuk kembali cergas sebanyak tiga atau empat kali.
"Saya mungkin tidak sebaik musim lalu, namun ia bukan tentang saya seorang. Ia tentang bagaimana saya dapat membantu pasukan ini menjulang kejuaraan," tambahnya.
#Cardiff City
#Jadon Sancho
#Kevin de Bruyne
#Liga Perdana Inggeris
#Liverpool
#Manchester City
#Pep Guardiola
#Phil Foden
#Stadium Etihad