DBKL perlu buat post-mortem KL City Grand Prix - KJ

Norsiah Mohd Ramli
Ogos 10, 2015 18:12 MYT
Menurut Khairy sebagai pihak berkuasa tempatan yang menguruskan lalu lintas di ibu negara, DBKL perlu menentukan impak penganjuran pelumbaan itu. - Gambar Fail
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan post-mortem sama ada penganjuran KL City Grand Prix dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.
Menurutnya, sebagai pihak berkuasa tempatan yang menguruskan lalu lintas di ibu negara, DBKL perlu menentukan impak penganjuran pelumbaan itu.
Ini, jelasnya kerana beliau prihatin berhubung kesesakan lalu lintas di ibu negara, berikutan penutupan beberapa jalan utama di sekitar ibu negara bagi membolehkan pelumbaan itu diadakan.
"Dia kena kajilah sama ada kelebihan yang mereka dapat dari segi pelancongan, publisiti dan sebagainya mengatasi segala inconvenience atau segala masalah yang timbul kerana program tersebut membabitkan penutupan jalan dan sebagainya.
"Akhirnya bila kita buat program macam ini, kita tidak boleh puaskan hati semua orang sepenuhnya. Tetapi dia kena buat kajian. Itu terserah kepada penganjur dan pihak DBKL," katanya ketika ditemui pada sidang media selepas Majlis Rumah Terbuka kementerian itu di Stadium Bukit Jalil, hari ini.
Khairy juga menegaskan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meluluskan perlumbaan itu kerana pihak penganjur mampu menyediakan kos perbelanjaan yang mencukupi dan keselamatan yang terjamin selain persetujuan daripada pihak DBKL.
Penganjuran KL City Grand Prix, yang berlangsung selama tiga hari, bermula 7 Ogos lalu, melibatkan penutupan lima jalan utama di sekitar Kuala Lumpur.
Ia membabitkan Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Raja Chulan, Jalan Perak dan Jalan P. Ramlee.
#DBKL #Dewan Bandaraya Kuala Lumpur #Khairy Jamaluddin #KL City Grand Prix
;