Davies jangka Pan Gon terap corak permainan berbeza di Chengdu

Bernama
September 2, 2023 04:00 MYT
Sebelum ini, Kim Pan Gon dilihat sering menggunakan corak permainan menyerang dalam mana-mana perlawanan disertai mereka. - Gambar fail/Bernama
PETALING JAYA: Pertahanan skuad Harimau Malaya, Matthew Davies menjangkakan pendekatan corak permainan berbeza akan diadaptasi pengendali skuad itu, Kim Pan Gon pada dua perlawanan persahabatan Tier 1 di Chengdu, China, pada Rabu dan Sabtu depan.
Bek kanan berusia 28 tahun itu berkata, langkah tersebut mungkin diambil Pan Gon sesuai dengan status kedua-dua pasukan lawan iaitu Syria dan tuan rumah, China yang berada di kedudukan ranking 100 terbaik dunia berbanding Malaysia di tangga ke-136 dunia.
"Saya percaya ia akan menjadi pendekatan yang sedikit berbeza terhadap lawan yang ranking lebih baik (Syria dan China) terutamanya dalam perlawanan di tempat lawan.
"Bermain secara defensif sememangnya aspek penting tetapi pada masa yang sama kami tidak mahu pergi ke sana (Chengdu) dengan strategi seperti itu kerana bukan itu cara kami sebagai pasukan bola sepak," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan skuad negara di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata demikian apabila ditanya berhubung pendekatan bakal digunakan Pan Gon dalam berdepan kedua-dua pasukan itu.
Sebelum ini, pengendali skuad dari Korea Selatan itu dilihat sering menggunakan corak permainan menyerang dalam mana-mana perlawanan disertai mereka.
Malaysia akan menentang Syria pada 6 Sept ini dan berdepan China tiga hari kemudian.
Skuad negara akan berlepas ke Chengdu, Isnin ini. - BERNAMA
#FAM #harimau Malaya #perlawanan persahabatan #permainan berbeza
;