David Beckham bakal jadi duta Piala Dunia 2022 di Qatar
Bernama
Oktober 25, 2021 12:31 MYT
Oktober 25, 2021 12:31 MYT
MOSCOW: Bekas kapten pasukan bola sepak kebangsaan England, David Beckham akan menjadi Duta Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar, dalam perjanjian bernilai GBP150 juta (AS$206.4 juta), lapor Sputnik memetik The Sun pada Ahad.
Beckham, 46 bersetuju menjadi duta negara Asia Barat itu, dan menerima bayaran GBP15 juta setahun bagi tempoh sepuluh tahun berikutnya berdasarkan perjanjian itu, lapor tabloid itu.
Piala Dunia 2022 di Qatar diselubungi kontroversi sejak awal kerana kebimbangan mengenai dakwaan pelanggaran hak asasi manusia di tapak-tapak pembinaan negara itu, serta sikap Qatar terhadap wanita dan komuniti LGBT. Bagaimanapun, bintang bola sepak itu diyakinkan bahawa peminat di Qatar akan selamat dan dibenarkan mempamerkan bendera pelangi di stadium, menurut The Sun.
Qatar merupakan negara Arab pertama untuk menjadi tuan rumah bola sepak Piala Dunia yang akan berlangsung dari 21 November hingga 18 Disember 2022.
-- BERNAMA