Datuk Soh Chin Ann dinobat pemilik 'caps' antarabangsa terbanyak FIFA
Madiha Abdullah
Ogos 3, 2021 23:45 MYT
Ogos 3, 2021 23:45 MYT
KUALA LUMPUR: Legenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Ann akhirnya disenaraikan dalam FIFA Century Club sebagai pemain paling banyak mewakili skuad kebangsaan dalam perlawanan antarabangsa.
Pemain berusia 71 tahun itu adalah salah seorang daripada empat legenda kebangsaan termasuk Zainal Abidin Hassan, mendiang Datuk M Chandran dan Datuk Santokh Singh yang disenaraikan FIFA dalam kemas kini terbaharu pada Selasa.
FIFA Century Club adalah eksklusif untuk pemain yang telah bermain sekurang-kurangnya 100 perlawanan antarabangsa.
Chin Ann, yang mewakili Malaysia dari tahun 1969-1984, berada di kedudukan pertama dengan 195 caps,10 penampilan lebih banyak daripada Bader Almotawaa dari Kuwait yang berada di tempat kedua.
Antara nama besar lain dalam senarai 'Top 10' ialah Sergio Ramos dari Sepanyol (180, tempat kelima), Cristiano Ronaldo dari Portugal (179, keenam) dan Gianluigi Buffon dari Itali (176, kesembilan).
Ronaldo kekal sebagai satu-satunya pemain yang mampu memecahkan rekod Chin Ann kerana beliau masih aktif mewakili Portugal dalam arena bola sepak antarabangsa.
Zainal, Chandran dan Santokh masing-masing mengumpulkan 116, 115 dan 100 caps.
Dengan penambahan terbaharu itu, Malaysia berbangga dengan tujuh pemain berada dalam senarai tersebut.
Datuk Abdul Shukor Salleh (163), Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari (138) dan Mendiang Datuk R. Arumugam (131) merupakan yang pertama tersenarai, berdasarkan kemas kini pada Mei lalu.
Walaupun penampilan keseluruhan Chin Ann bersama skuad kebangsaan ialah sebanyak 252 kali seperti yang direkodkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), namun hanya 195 daripadanya dikira sebagai pertandingan kelas A.
Chin Ann, yang memakai lilitan kapten skuad kebangsaan dari tahun 1975 sehingga bersara pada tahun 1984, gembira dengan berita itu.
“Terima kasih FIFA dan FAM atas pengiktirafan ini. Saya berasa cukup terharu atas pengesahan rekod ini.
“Menjadi pemain dengan jumlah penampilan paling banyak dunia adalah penghargaan tertinggi buat saya," katanya.
#Soh Chin Aun
#bola sepak
#FIFA
#FAM
#Malaysia
#FIFA Century Club
#perlawanan antarabangsa
#kebanggaan negara
#pencapaian negara