Datuk Nicol David ucap selamat tinggal kepada dunia skuasy
Astro Awani
Mei 24, 2019 15:04 MYT
Mei 24, 2019 15:04 MYT
MESKIPUN menggantung raket tanpa kejuaraan terakhir, Nicol tinggalkan kenangan manis di Terbuka British.
Sejak kejuaraan remaja dunia pertama pada 1999, Nicol tidak menoleh kebelakang dalam aspirasi mendominasi dunia.
Pengembaraan 21 tahun di pentas tertinggi menyaksikan Nicol membawa nama Malaysia seiring dengan pencapaiannya.
Rekod merajai no 1 dunia untuk tempoh sembilan tahun akan jadi penanda aras buat mereka yang berhasrat mengganti legasi Nicol.
Itu di samping muncul juara dunia lapan kali sambil koleksi diwarnai 81 kejuaraan jelajah PSA.
Meskipun pengaruh tidak sehebat dulu, Nicol tetap tidak berkompromi dengan kemahuan untuk bersaing dengan yang terbaik.
Penghujung di Terbuka British diraikan Nicol atas sandaran nostalgia menjadi antara kejohanan kegemarannya.
Sekalipun pemburuan kejuaraan ke-6 Terbuka British berakhir di pusingan kedua.
Kekalahan 4-11, 7-11, 13-11, 5-11 di tangan no 3 dunia Nour el Tayoub membuktikan Nicol tetap tumbang melawan.
"Saya harap keluarga, rakan-rakan saya dari Colombia dan Mexico juga semua yang rapat bersama dengan saya ketika ini. Mereka ini keluarga saya dan ada bersama saya ketika susah dan senang.
"Anda semua menjadikan saya istimewa dan terima kasih memberikan pengalaman dan memori indah sepanjang perjalanan saya meniti karier sebagai pemain skuasy," kata Nicol.
Tidak akan ada dua sepertinya, legasi Nicol sebagai Ratu Skuasy Dunia, membuktikan betapa luar biasanya kemampuan seorang anak Malaysia.