Datuk Hamidin nafi tambah khidmat pemain naturalisasi
Astro Arena
Februari 28, 2024 16:46 MYT
Februari 28, 2024 16:46 MYT
PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) menegaskan dakwaan tentang pemain naturalisasi bakal diambil badan induk itu dalam masa terdekat bagi memperkuat pasukan adalah palsu.
Menurut Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin isu tersebut hanyalah spekulasi yang dimainkan oleh sesetengah media atau blogger.
Malah, ramai pemain kacukan yang disebut sesetengah pihak adalah palsu dengan mereka bukan rakyat Malaysia.
"Mungkin sesetengah media atau blogger sahaja buat, yang mengatakan FAM ada buat ini semua, sebenarnya tak ada pun. Saya sudah berjumpa dengan Kim Pan Gon (ketua jurulatih Harimau Malaya) minggu lalu, tiada pun kita buat pemantauan.
"Tetapi ada sesetengah portal cuba menggunakan nama FAM seolah-olah pasukan kita nakkan lagi pemain naturalisasi, setakat ini tiada. Maklumat daripada pegawai saya maklumkan beberapa pemain itu tak boleh, mereka semua bukan orang Malaysia.
"Jadi banyak yang palsu, saya fikir tak perlu nak ambil kira benda itu. Saya nafikan perkara itu semua, kita pun tiada beria-ia sangat.
"Saya sudah tekankan kepada jurulatih dan barisan jurulatih skuad muda untuk menumpukan pemain tempatan bagi melahirkan lebih ramai pemain tempatan sebagai pemain kebangsaan di peringkat umur," katanya.
Sebelum ini, beberapa laporan mengaitkan ramai pemain terutama yang beraksi di Eropah memiliki pertalian darah Malaysia selain mencanang bahawa mereka berpotensi untuk diserap ke dalam skuad kebangsaan.
Antara pemain yang dilaporkan termasuk pemain Barcelona B, Naim Garcia, Sem Scherperman, Diego Van Oorshot, Mats Deijl, Christopher John Bernard Sze, Ethan Joseph Wheatly, Daniel Batty, Alfie James Chang, Jason van Duiven, Robin van Duiven dan Ferdy Druijf.
*Artikel asal yang disiarkan di Stadium Astro