'Datang sekurang-kurangnya dua jam lebih awal sebelum acara pembukaan!' - KJ
Israr Khalid
Ogos 17, 2017 21:10 MYT
Ogos 17, 2017 21:10 MYT
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyarankan kepada orang ramai yang telah membeli tiket untuk menyaksikan upacara pembukaan di Stadium Nasional Bukit Jalil supaya datang lebih awal sekurang-kurangnya dua jam lebih awal.
Katanya, acara gilang-gemilang pada Sabtu ini akan bermula pada jam 8 malam dan pintu masuk ke stadium akan dibuka pada jam 4 petang.
Saranan itu diberikan memandangkan setiap yang hadir untuk memasuki stadium mahupun mana-mana venue acara perlu melalui pemeriksaan keselamatan yang ketat, dan ia sedikit melambatkan trafik masuk penonton.
“Ini bukan seperti acara bola sepak liga seperti selalu yang tiada saringan keselamatan. Untuk acara seperti ini, anda akan diperiksa kerana keselamatan menjadi keutamaan kami.
“Anda perlu melalui pemeriksaan bagasi dan badan, dan ia pasti akan menyebabkan kesesakan. Jadi saya sarankan supaya datang awal,” katanya pada sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.
Tambahnya, tidak rugi untuk datang awal kerana pra-pertunjukan di dalam stadium bermula pada jam 6 petang, malah perkarangan stadium juga sarat dengan pelbagai aktiviti dan jualan daripada rakan penaja kejohanan yang akan bermula seawal jam 10 pagi.
Di dalam stadium, bilik solat yang memadai disediakan untuk kemudahan dan keselesaan penonton beragama Islam khususnya untuk solat Maghrib dan Isyak pada hari tersebut.
Pada masa sama, Khairy turut menyarankan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam khususnya perkhidmatan RapidRel yang menawarkan diskaun 50 peratus ke destinasi Sukan SEA sehingga 31 Ogos ini.
“Waktu operasi LRT Laluan Sri Petaling di stesen Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga 1 pagi, begitu juga perkhidmatan KTM Komuter yang akan diumumkan tidak lama lagi.
“RapidKL juga menyediakan bas khas dengan kekerapan 10 ke 15 minit daripada tujuh lokasi dari atau ke Stadium Nasional Bukit Jalil,” maklumnya.
Pada Sabtu ini, turut dimaklumkan bahawa semua laluan di sekitar Bandar Sukan Kuala Lumpur (KLSC) iaitu Jalan Merah Cagar dan Jalan Putra ditutup sepenuhnya.
Sehubungan itu, orang ramai yang memilih untuk memandu boleh meletak kenderaan di kawasan Kelab Lumba Kuda Selangor yang menyediakan 3,500 petak parkir dibuka dari jam 3 petang dengan bayaran RM3 setiap kemasukan.
Selain itu, kereta juga boleh diletakkan di lebih kurang 18,000 tempat parkir tersedia di rangkaian perkhidmatan rel di sepanjang laluan ke Bukit Jalil dan seterusnya menaiki perkhidmatan rel untuk ke venue acara.
Mengenai perkembangan upacara pembukaan, Khairy tidak banyak berkongsi butiran kandungan dengan mengatakan ia satu kejutan yang pasti akan dinikmati dan boleh dihargai setiap penonton yang hadir.
“Kita ada persembahan dengan menggunakan teknologi canggih.
“Tapi saya tak mahu cerita dengan lebih lanjut, biarlah ia menjadi kejutan,” ujarnya.
Majlis bermula dengan ketibaan Perdana Menteri pada jam 8.17 malam, diikuti keberangkatan tiba Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V seterusnya nyanyian lagu Negaraku.
Kemudian upacara pembukaan bermula dengan perarakan bendera negara bertanding, perarakan atlet mengikut negara dimulakan dengan Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Timor Leste, Vietnam dan akhir sekali tuan rumah, Malaysia.
Ia disusuli ucapan alu-aluan oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tunku Imran Tuanku Ja'afar diikuti ucapan pembukaan oleh Menteri Belia dan Sukan sebelum pembacaan deklarasi pembukaan temasya Sukan SEA ke-29 oleh Yang Di-Pertuan Agong.
Nyalaan obor temasya akan berlangsung selepas tamat bacaan ikrar dan persembahan dan acara dijangka tamat selewat-lewatnya jam 10.15 malam.
Tiket untuk kesemua 84,000 tempat di dalam Stadium Nasional Bukit Jalil sudah habis dijual, namun kata Khairy orang ramai boleh mengikuti upacara tersebut melalui siaran komprehensif pada pelbagai platform Astro sebagai penyiar rasmi.
“Istimewa bagi yang mengikuti upacara pembukaan menerusi YouTube, kali pertama dalam sejarah penyiaran kejohanan ia disiarkan dengan kamera 360 darjah.
“Jadi penonton siaran langung di Youtube dapat merasakan seperti berada di dalam stadium,” katanya.
Juga diingatkan untuk para hadirin supaya dapat menguruskan sampah yang dihasilkan sebaiknya bagi memudahkan kerja petugas pengurusan stadium.
#BangkitBersama
#Khairy Jamaluddin Abu Bakar
#KitaJuara
#KL2017
#SEAGames2017
#Stadium Nasional Bukit Jalil
#SukanSEA2017
#Sultan Muhammad V
#Tunku Imran Tuanku Ja'afar