Darul Takzim mahu jadi pasukan lebih mantap
Astro Awani
Januari 27, 2013 19:37 MYT
Januari 27, 2013 19:37 MYT
Tempoh rehat Liga Super selama tiga minggu akan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh Johor Darul Takzim dalam usaha membentuk pasukan lebih mantap.
Ia termasuklah mengatur lima perlawanan bagi memberi peluang buat pemain-pemain simpanan membuktikan kemampuan.
Ketua jurlatih Darul Takzim, Fandi Ahmad sebelum ini mengakui pasukannya masih kurang serasi di atas padang.
Ia termasuklah komunikasi yang lemah serta para pemain yang masih dalam sesi mengenali corak permainan antara satu sama lain.
Kini pemain simpanan juga tidak terkecuali daripada perancangan bekas pemain Singapura itu.
Fandi turut berharap tempoh rehat berkenaan dapat membantu pemain yang mengalami kecederaan untuk pulih.
Dua penyerangnya Safee Sali dan Daniel Guiza masing-masing mengalami kecederaan buku lali dan bahu.
Selepas lima perlawanan, Darul Takzim kini menghuni tangga kelima liga dengan lapan mata.
Mereka juga meneruskan kemaraan ke pusingan kedua Piala FA susulan kemenangan tipis 1-0 di Larkin Jumaat lalu.