Darul Takzim FC menang tipis keatas Perak
Astro Awani
Januari 12, 2013 10:30 MYT
Januari 12, 2013 10:30 MYT
Johor Darul Takzim FC berjaya menewaskan Perak 1-0 dalam satu perlawanan Liga Super di Stadium Larkin malam tadi.
Gol tunggal dijaringkan oleh Aidil Zafuan Abdul Razak pada babak kedua permainan.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi pula, Negeri Sembilan sekadar seri tanpa jaringan dengan Terengganu.
Babak pertama menyaksikan aksi seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan. Terengganu, yang diperkuatkan bekas penyerang Jang Jean Effa Owona tampak sukar menembusi pertahanan Negeri Sembilan yang dikemudi Azmer Yusof dan Wiliam Modibo.
Negeri, yang membariskan penyerang dari Portugal Emanuel Del Porras, turut berdepan kesukaran melepasi benteng Peteh yang dikemudi pertahanan kebangsaan Faizal Mohamad.
Masuk babk kedua, Negeri mula meningkatkan serangan dalam usaha memburu jaringan pembukaan.
Pemain tengah tuan rumah Nazren Nawi berpeluang meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-69 tetapi percubaan jarak jauhnya terus ke dakapan penjaga gol pelawat Wan Azraie Teh.
Pengendali Peteh E.Ellavarasan melakukan beberapa pertukaran di pertengahan babak kedua.
Namun is masih gagal memberikan hasil dan kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan.
Meskipun kecewa gagal meraih kemenangan, pengendali Negeri Sembilan Divaldo Da Silva percaya pasukannya mampu mempamerkan peningkatan.
Bekas pengendali Persebaya ini juga yakin keserasian pemain-pemain negeri akan bertambah baik selepas ini walaupun masih ketandusan jaringan selepas dua perlawanan.
Da Silva turut memuji kelibat penjaga golnya Hamsani Ahmad yang masih mampu menyelamatkan aksi tangkas biarpun sudah menjangkau 37 tahun.
Sementara itu, pengendali Terengganu E.Ellavarasan berasa kegagalan pasukannya menyesuaikan diri dengan tempo permainan menjejaskan sedikit perancangannya.
Kini tumpuan Ellavarasan ialah untuk mempertajamkan lagi keberkesanan penyerang importnya Jean Effa Owona menjelang pertemuan dengan Selangor selepas ini.
Bekas pengendali Public Bank Selangor ini masih yakin dengan kemampuan pemain Cameroon itu dan percaya dia akan menemui sentuhannya dalam masa terdekat ini.