Darul Takzim FC hampiri Lions XII di persada Liga Super
Bernama
Mei 22, 2013 07:10 MYT
Mei 22, 2013 07:10 MYT
Johor Darul Takzim (Johor DT) menepati status sebagai pasukan bertaraf bintang apabila mengalahkan Kelantan 2-0 pada perlawanan Liga Super di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.
Dengan berbaki lima perlawanan, Skuad Harimau Selatan berjaya memintas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di tangga kedua dengan 34 mata, hanya satu mata di belakang pendahulu liga, Lions XII dari Singapura.
ATM kini menghuni tangga ketiga dengan 33 mata.
Bekas bintang Kelantan Norshahrul Idlan Talaha berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-65 untuk meletakkan Johor DT di hadapan sebelum Nurul Azwan Roya mengesahkan tiga mata penuh pada minit ke-69.
Perlawanan tertunda selama 40 minit kerana stadium penuh dan berlaku provokasi membaling botol daripada penonton.
Namun pihak polis dengan kerjasama pengurusan berjaya mengatasi masalah tersebut apabila menyusun semula kedudukan penyokong kedua-dua pasukan.
Di Stadium Shah Alam, Selangor mengalahkan Terengganu 2-0 untuk menduduki tangga keempat dengan mengumpul 30 mata.
Francis Forkey Doe menjadi wira pasukan Selangor apabila menyumbang dua gol pada minit ke-24 dan 89.
Di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Pahang turut mengutip tiga mata penuh setelah mencatat kemenangan 2-0 ke atas pasukan tercorot, Negeri Sembilan.
Skuad bimbingan Dollah Salleh berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-38 menerusi jaringan Mohd Razman Roslan sebelum Damion Stewart mengesahkan kemenangan muktamad bagi skuad Tok Gajah pada minit ke-49.