Dari Kajang ke Jerman, Diniz sedia sahut cabaran baharu

Ian Johan Ariff
Jun 19, 2019 15:22 MYT
Diniz Irwan akan berhijrah ke Jerman selepas mendapat kontrak untuk bermain bersama Frankfurt. - Foto Limite Art
DI MANA ada kemahuan, di situ ada jalan.
Mendapatkan kontrak untuk bermain bola sepak di Eropah adalah impian setiap pemain remaja namun ia bukan satu perkara yang mudah.
Salah seorang yang bertuah adalah Muhammad Diniz Irwan, 18 tahun.
Apabila mendapat tawaran daripada bekas jurulatihnya, Alex Kuschman untuk bermain dengan kelab TuS Hornau di Jerman, Diniz tidak perlu berfikir panjang dan menerima tawaran itu.
Diniz pernah bersama-sama dengan Kuschman, yang merupakan bekas jurulatih Borussia Dortmund bawah 15 tahun semasa jurulatih Jerman itu berada di Malaysia.
Bersama Kuschman, Diniz mengharungi beberapa karnival bola sepak dan kejohanan di Singapura dan Malaysia selama setahun.
Berbekalkan pengalaman berlatih di Cardiff City di England dan juga sebulan di Valencia, Sepanyol, sudah pasti pemain bola sepak remaja dari Kajang ini bersedia untuk berkelana di Jerman.
Sebelum ini, Diniz mendapat pendedahan awal di Akademi Bola Sepak Tunas Lagenda dari tahun 2012-2016, sebelum dipilih untuk mewakili salah sebuah kelab bola sepak di negara ini.
“Saya rasa saya sudah bersedia untuk mengharungi cabaran seterusnya, dan saya rasa untuk berjaya semestinya kita perlu ambil risiko dan ibu bapa menyokong saya punya keputusan,” kata Diniz.
“Dekat Jerman, pemain remaja yang mahu bermain di sana perlu melalui proses pembelajaran di sana, saya tidak akan bermain bola sahaja di sana tetapi akan belajar sekali.”
Diniz yang pernah memenangi pertandingan bakat bola sepak Million Dollar Feet pada 2017 akan melanjutkan pelajarannya di European School, sebuah institusi pendidikan swasta antarabangsa.
Menurut Diniz, segala perbelanjaan pendidikannya akan ditanggung sepenuhnya oleh kelab tersebut.
Kenapa pilih membina kerjaya di Jerman, tidak di Malaysia?
Bagi Diniz, jurulaltih di Jerman mempunyai perancangan untuk anak didik mereka dalam tempoh jangka masa panjang.
“Mereka (jurulatih di Jerman) mempunyai perancangan untuk masa akan datang, bukan setakat untuk beberapa bulan atau beberapa musim, mereka mempunyai perancangan untuk tahun akan datang,” jelas Diniz.
Diniz berpendapat perancangan masa depan pemain bola sepak remaja amat penting supaya mereka tidak membuang masa dalam usaha menjadi seorang pemain profesional.
Pengalaman beraksi dengan Diniz
Ini merupakan kali kedua saya dapat beraksi dengan Diniz.
Kali ini, kami menjalani beberapa sesi latihan ringkas bola sepak anjuran Adidas Malaysia, yang dikendalikan penolong jurulatih Harimau Malaya, Aminuddin Hussin.
Latihan tersebut diadakan untuk menguji keberkesanan but bola sepak terbaharu Adidas, Nemeziz 19, 302 REDIRECT Pack bersama pemain-pemain profesional, media dan juga selebriti di Arena Universiti Malaya.
Saya mengharungi tiga cabaran berbeza untuk menguji kelincahan pemain di atas padang yang sedikit lecak akibat hujan lebat pada awal petang, iaitu Suicide, Messi Dribbling Drill dan Straight Cone Weave menggunakan but bola tersebut.
Ternyata latihan dan dapat bermain bola sepak tujuh sebelah bersama Diniz dan pemain bola sepak lain seperti Shivan Pillay Asokan, Azri Ghani, Wan Zaharulnizam, Khairil Anuar Beto, serta Luqman Hakim membuahkan skil baru untuk saya beraksi di padang nanti.
#Aminuddin Hussin #Borussia Dortmund #Cardiff City #Frankfurt #harimau Malaya #Jerman #Million Dollar Feet #Muhammad Diniz Irwan #Tunas Lagenda #Valencia
;