Dapatkah penjualan jersi PSG bayar gaji Lionel Messi?
Ian Johan Ariff
Ogos 18, 2021 14:55 MYT
Ogos 18, 2021 14:55 MYT
SEPANJANG minggu ini, netizen bola sepak berkongsi mengenai jumlah penjualan jersi Lionel Messi sudah cukup untuk membayar gaji pemain Argentina itu Paris Saint-Germain (PSG). PSG berjaya menjual lebih satu juta helai jersi yang dicetak nama Messi itu minggu ini, namun mampukah ia melangsaikan gaji kapten Argentina itu?
Kalau ikut pendapatan dari penjualan kesemua jersi itu setakat ini, PSG sudah meraih sekitar AS$105 juta (RM444.67 juta) yang sudah pasti dapat melangsaikan gaji Messi yang dilaporkan bernilai AS$41 juta (RM173.6 juta) setahun (tidak termasuk bonus). Netizen perlu ingat, PSG tidak meraih kesemua pendapatan itu dan terpaksa berkongsi dengan syarikat pengeluar baju itu, Nike dan juga Jordan.
The Sun UK melaporkan sebanyak 5 peratus ataupun AS$6.8 juta (RM28.7 juta) daripada pendapatan itu akan diberikan kepada syarikat jenama bekas pemain bola keranjang profesional, Michael Jordan, yang berkerjasama dengan Nike untuk mengeluarkan barangan-barangan dan jersi PSG.
Justeru, Jordan yang mengalami kejatuhan sebanyak 24 peratus daripada nilai jenama itu akibat pandemik COVID-19 mendapat suntikan baharu untuk menaikkan semula nilai jenama bekas juara enam kali NBA itu.
PSG pula hanya akan mendapat royalti penjualan sekitar 5-10 peratus daripada perjanjian pelesenan untuk mengeluarkan jersi dan barangan PSG dengan Nike. Oleh itu, yang untung di sini adalah syarikat pengeluar jersi itu, bukan kelab.
Sebagai contoh, pengeluar kit atau jersi seperti Adidas mendapat 85-90 peratus daripada jualan kit Manchester United dan sepanjang enam bulan penjualan kit tersebut, syarikat jenama sukan Jerman itu mengaut lebih banyak keuntungan daripada United dalam tempoh itu.
Untuk mengatakan penjualan jersi ‘Messi 30’ sudah cukup untuk membayar gaji pemain itu adalah satu yang tidak benar, kerana daripada AS$41 juta setahun itu, ada lagi bonus yang dianggarkan bernilai AS$40 - AS$45 juta lagi yang perlu PSG bayar kepada Messi dalam tempoh setahun.
Bagaimanapun, penjualan jersi ‘Messi 30’ itu mengatasi rekod penjualan jersi Cristiano Ronaldo ketika menyertai Juventus pada 2018.
Sebanyak 830,000 jersi Messi dijual dalam tempoh 24 jam, mengatasi jumlah 520,000 jersi Ronaldo pada 2018. Malah, ada laporan yang mendakwa 250,000 jersi PSG Messi dijual dalam tempoh sejam dan ada yang menyatakan 150,000 dijual dalam tempoh tujuh minit.
PSG menandatangani kontrak jangka masa panjang bersama Nike pada 2019, dengan nilai dianggarkan lebih AS$93 juta setahun sehingga tahun 2032. Nike dan Jordan berjaya meningkatkan jualan jersi pasukan itu kerana ia bukan sahaja dibeli penyokong PSG, malah ia menjadi buruan pengumpul jenama Nike x Jordan sebagai koleksi peribadi dan juga fesyen pakaian siar ataupun ‘street-wear’.
Messi, 34 tahun, menyertai PSG minggu lalu selepas kelab asalnya, Barcelona tidak mampu untuk meneruskan perjanjian baharu dengan pemain itu kerana menanggung hutang yang amat tinggi.
Kehadirannya diraikan bersama penyokong di Stadium Parc des Princes pada hujung minggu lalu, sebelum perlawanan PSG menentang Strasbourg.