Dana e-sukan naik empat kali ganda kepada RM1 juta

Bernama
Ogos 6, 2024 05:31 MYT
Menurut ESI, peningkatan itu dijangka memberi impak positif kepada industri serta memacu pertumbuhan ekosistem e-sukan negara. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Peruntukan bagi e-sukan negara meningkat empat kali ganda apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Esports Integrated (ESI) menaikkan jumlah dana kepada RM1 juta berbanding RM250,000 sebelum ini.
ESI dalam kenyataan hari ini memaklumkan dana itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu RM700,000 disalurkan kepada umum dengan had pembiayaan maksimum RM30,000 manakala selebihnya adalah untuk institusi pengajian tinggi awam dan swasta dengan had pembiayaan RM15,000.
Menurut ESI, peningkatan itu dijangka memberi impak positif kepada industri serta memacu pertumbuhan ekosistem e-sukan negara.
"Dana ini meliputi pelbagai inisiatif termasuk pembangunan bakat, penganjuran acara dan pertandingan e-sukan, menaik taraf kemudahan e-sukan, inisiatif sains dan penyelidikan e-sukan serta program e-sukan komuniti.
"Pertubuhan kecil, kelab, persatuan dan syarikat yang memerlukan bantuan dana bagi penganjuran program, pertandingan dan acara e-sukan dipelawa untuk memohon dana ini," menurut kenyataan itu.
Permohonan Dana Esukan KBS 2024 perlu dibuat secara dalam talian menerusi pautan https://esportsintegrated.com/2024/07/24/dana-esukan-kementerian-belia-sukan-2024/ sebelum 27 Ogos ini.
"Semua permohonan yang lulus dan berjaya mestilah menganjurkan acara atau program sebelum 30 Nov 2024. Untuk sebarang pertanyaan berkenaan Dana Esukan KBS 2024, sila hantarkan e-mel ke hey@esportsintegrated.com," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#dana e-sukan #Kementerian Belia dan Sukan #Esports integrated #peruntukan meningkat