Damia Husna yakin teruskan momentum kemenangan di Sarawak
Bernama
Ogos 17, 2024 11:55 MYT
Ogos 17, 2024 11:55 MYT
ISKANDAR PUTERI: Atlet Muay Thai Johor, Damia Husna Azian yakin mampu meneruskan momentum kecemerlangannya di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dalam usaha mempertahankan pingat emas dimenanginya di Kuala Lumpur, dua tahun lepas.
Atlet berusia 19 tahun yang meraih pingat perak di Kejohanan Dunia di Patras, Greece baru-baru ini berkata dia sudah bersedia 100 peratus dan mahu memastikan keadaan kesihatan fizikal dan mental pada tahap terbaik sebelum turun bertarung dalam kategori 45-48 kilogram (kg).
"...begitu juga dari aspek keselamatan kerana saya tidak mahu ada sebarang kecederaan pada saat-saat akhir yang boleh menjejaskan perlawanan," katanya kepada Bernama ketika ditemui baru-baru ini.
Pemenang pingat emas kategori 42-45kg edisi 2022 di Kuala Lumpur itu berkata tunjuk ajar dan nasihat daripada jurulatih menjadi azimat buatnya yang tekad untuk mempertahankan emas dimenanginya sebelum ini pada penampilan kali keduanya di temasya sukan dwitahunan kebangsaan itu.
Untuk rekod, Damia Husna pernah meraih pingat emas kategori 42-45kg di Kejohanan Senior Dunia Persekutuan Antarabangsa Persatuan Muay Thai (IFMA) 2022 di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Sementara itu, ketua jurulatih Muay Thai Johor Edee Noor Iskandar berkata secara keseluruhan 12 atlet menggalas cabaran di SUKMA 2024 dengan menyasarkan masing-masing dua emas dan perak serta empat gangsa.
Beliau secara keseluruhannya berpuas hati dengan prestasi dan persediaan kesemua atlet yang terdiri daripada tujuh lelaki dan lima wanita.
"Damia Husna antara kita punya (sandaran) pingat emas. Kita cuba kekalkan emas yang beliau raih pada SUKMA 2022 dalam kategori 42-45 kg, cuma edisi kali ini akan beraksi bagi kategori berbeza iaitu 45-48 kg.
"Selain itu, beberapa kategori wanita juga menjadi sandaran emas. Kebanyakan adalah atlet baharu, jadi kita harap mereka dapat menggalas cabaran dengan sebaiknya di Sarawak," katanya.
Pada SUKMA 2022, skuad Muay Thai Johor mengumpul satu emas dan tiga gangsa.
-- BERNAMA