Cub Prix Malaysia: Pelumba berentap sengit di Jempol

Astro Arena
Mac 11, 2023 00:41 MYT
Pelumba CP150 pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran, berharap momentum diteruskan dalam mengharungi perlumbaan akhir. - Foto Stadium Astro
JEMPOL: Hari pertama Kejuaraan Cub Prix Malaysia 2023 di Dataran Seri Jempol menyaksikan pelumba-pelumba terus menyaingi satu sama lain demi memburu slot ke perlumbaan akhir, pada Ahad.
Ia secara tidak langsung memaksa semua pelumba untuk tidak selesa dengan kedudukan semasa memandangkan jarak catatan masa yang rapat, sekali gus memberi peringatan bahawa tiada jaminan untuk mendominasi litar itu.
Pelumba CP150 pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran, berharap momentum diteruskan dalam mengharungi perlumbaan akhir.
Ahmad Afif yang berada dalam kelompok empat terpantas pada awal aksi kelayakan 2 terus cuba mencari ruang mencatat masa terpantas dan usahanya mula menampakkan hasil apabila merakamkan rekod pusingan terpantas iaitu 44.226 saat bagi meraih tempat pertama dalam baki empat minit perlumbaan.
Untuk rekod, Ahmad Afif yang mengumpul jumlah 157 mata keseluruhan menyaksikannya muncul juara bagi musim 2022.
"Saya sendiri pun tidak jangka boleh muncul terpantas dalam kelayakan 2 hari ini sebab dalam sesi latihan dan kelayakan 1, Azroy (Hakeem Anuar) dan Kasma Daniel Kasmayudin tekal mendominasi catatan terpantas.
"Terima kasih semua krew walaupun jentera saya hampir musnah akibat terjatuh dalam kelayakan 1.
"Mekanik bekerja keras untuk siapkan motor secepat dan sebaik mungkin" katanya.
Dalam kategori CP125 pula, pelumba Hetron Yamaha YY Pang Racing, Mohammad Syafiq Ezzariq Saiful Nizam, meraikan kejayaan menamatkan perlumbaan kelayakan B di tempat pertama dengan catatan masa terbaik 46.640 saat.
Berikutan hampir terlepas kedudukan pertama, Syafiq Ezzariq bertekad tidak melakukan percubaan yang berbahaya dalam aksi akhir.
"Saya hampir terjatuh 2-3 kali yang berpunca kerana cuba memaksimumkan brek," katanya.
#Petronas #momentum #perlawanan akhir #kelayakan
;