Cuaca, gelanggang cabaran skuad boling padang

Sinar Harian
Julai 22, 2022 10:50 MYT
Zuraidi (belakang, tiga, kiri) bersama barisan pemain boling padang negara di Lillington Bowls Club, Birmingham. - Foto Sinar Harian
CUACA dan gelanggang dianggap sebagai ‘musuh kedua’ skuad boling padang negara apabila menyingkap cabaran pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 bermula 28 Julai hingga 8 Ogos ini.
Ketua jurulatih skuad boling padang negara, Zuraidi Puteh berkata, dua elemen itu tidak boleh dijadikan alasan buat anak-anak buahnya untuk tidak mempamerkan persembahan terbaik masing-masing.
“Cabaran utama skuad negara di sini (Birmingham) apabila terpaksa berdepan cuaca cukup sejuk, diikuti cuaca panas, selain keadaan angin tidak menentu yang dijangka menjejaskan permainan mereka.
“Selain pemain pasukan lawan, sudah pastilah ‘musuh kedua’ para pemain kita adalah gelanggang rumput di Birmingham itu sendiri kerana kita selama ini berlatih di padang karpet dan sintetik.
“Namun, saya tidak mahu dua perkara tersebut dijadikan alasan oleh pemain-pemain untuk tidak memberikan aksi terbaik, sebaliknya mereka harus menjadikan ia satu cabaran yang perlu diharungi,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Skuad boling padang negara bertolak awal ke Birmingham untuk membuat penyesuaian keadaan cuaca dan gelanggang di Royal Leamington Spa Bowls Club yang akan menjadi venue pertandingan.
Boling padang antara sukan yang diletakkan sasaran bagi meraih emas pada Sukan Komanwel Birmingham 2022 selain terjun, angkat berat, badminton, gimrama dan powerlifting.
Mengenai status sukan yang disandarkan untuk menyumbang pingat emas kepada kontinjen negara, Zuraidi menyifatkannya sebagai satu cabaran positif buat komuniti sukan berkenaan.
“Boling padang dalam setiap temasya sukan besar antara sukan diletakkan sebagai prospek pingat emas dan diakui sedikit memberi tekanan
“Semestinya tekanan nampak berat, namun para pemain juga telah mendapat sokongan psikologi daripada pegawai-pegawai ISN di sini. Saya juga mengingatkan para pemain supaya tidak meninggalkan solat, sentiasa berdoa dan berjuang demi lencana di dada.
“Kecintaan terhadap Malaysia itu yang akan menjadi pembakar semangat kepada para pemain boling padang negara sekali gus mengurangkan tekanan digalas di bahu mereka,” katanya.
Pada masa sama Zuraidi berterima kasih kepada Majlis Sukan Malaysia (MSN) dan Persekutuan Lawn Bowls Malaysia yang memberi lampu hijau kepada skuad boling padang negara menjalani persediaan awal di Birmingham.
Untuk rekod, skuad boling padang tidak pernah mengecewakan kontinjen Malaysia dalam menghadirkan kilauan pingat sejak edisi Kuala Lumpur 1998.
Edisi Gold Coast 2018 menyaksikan pingat emas diraih menerusi acara pairs wanita, Siti Zalina dan Emma Firyana Saroji yang sekali lagi menjadi sandaran di Birmingham. - Sinar Harian
#boling padang #Sukan Komanwel Birmingham 2022 #Zuraidi Puteh #cuaca panas
;