Crystal Palace sah lantik Vieira sebagai pengurus

Astro Arena
Julai 5, 2021 08:07 MYT
Pengurus berbangsa Perancis itu menandatangani kesepakatan sehingga 2024. - Foto Stadium Astro
PENCARIAN pengurus Crystal Palace akhirnya berkesudahan apabila pasukan itu mengesahkan pelantikan Patrick Vieira sebagai pengendali baru mereka.
Pengurus berbangsa Perancis itu menandatangani kesepakatan sehingga 2024, di mana bekas pengendali Nice itu akan menggantikan Roy Hodgson di Selhurst Park.
Terdahulu, bekas pengurus Wolves, Nuno Esprito Santo, kelihatan hampir pasti akan mengisi jawatan itu, di mana Palace pada satu ketika amat berkeyakinan untuk melantik pengendali berbangsa Portugis berkenaan sebelum kedua-dua pihak membawa haluan masing-masing.
Nuno kemudian memilih untuk menyertai Tottenham manakala Palace pula mengalihkan tumpuan mereka ke arah bekas jurulatih Borussia Dortmund, Lucien Favre, tetapi sekali lagi gagal menemui kesepakatan biarpun perbincangan awal berlangsung dengan baik.
Bagaimanapun, Palace kini sudah menamatkan pencarian mereka dengan bekas legenda Arsenal, Vieira, sah menandatangani kontrak tiga tahun bersama kelab itu.
"Saya amat teruja untuk memperoleh peluang kembali ke Liga Perdana Inggeris dan menguruskan kelab bola sepak yang hebat ini untuk kami memulakan satu babak baru bersama-sama," kata pengurus berusia 45 tahun itu dalam laman web rasmi Palace.
"Kelab ini memiliki dasar luar biasa yang tepat selepas sekian lama beraksi dalam Liga Perdana Inggeris dan saya harap kami dapat melakukan lebih penambahbaikan dan terus memacu kelab ini ke depan."
#bola sepak #Crystal Palace #Patrick Vieira #pengurus
;