Cristiano Ronaldo tidak minat jadi jurulatih

Astro Arena
Januari 11, 2017 13:25 MYT
Ronaldo telah mengharungi musim cemerlang di mana dia memenangi gelaran Ballon d'Or serta dinamakan Pemain Lelaki Terbaik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang baru diperkenalkan. - Foto REUTERS
Cristiano Ronaldo berkata dia tidak teruja untuk menceburi bidang kejurulatihan selepas kegemilangannya sebagai pemain berakhir.
Ronaldo telah mengharungi musim cemerlang di mana dia memenangi trofi Liga Juara-Juara bersama Real Madrid dan mengetuai Portugal meraih kejayaan Euro 2016 untuk memenangi gelaran Ballon d'Or serta dinamakan Pemain Lelaki Terbaik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang baru diperkenalkan.
Perubahan dalam karier daripada seorang pemain hebat menjadi jurulatih hebat, bagaimanapun, jarang berlaku dalam bola sepak.
Meskipun gelagatnya ketika menjadi tukang sorak ketika perlawanan akhir Euro 2016 menjadi tumpuan, Ronaldo berkata dia tidak berminat untuk beralih kepada bidang kejurulatihan.
"Amat sukar... Namun, jangan sekali-kali katakan tidak," kata Ronaldo kepada laman FIFA.
"Saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa hadapan, tapi ketika ini saya tidak nampak saya akan menjadi seorang jurulatih."
Ronaldo terus menjadi seorang pemain yang berbisa pada usia 31 tahun dan dia mendedahkan rahsia aksi memukaunya berterusan.
"Tiada apa-apa rahsia. Ia berkenaan kerja keras dan usaha gigih," katanya.
"Saya bermain untuk sebuah pasukan (Madrid) yang memberikan saya kesempatan untuk saya bersaing merebut trofi.
"Begitu juga di Portugal, saya berasakan ia kejayaan Euro yang sensasi.
"Saya akan mengulanginya lagi. Ia adalah tahun yang penuh dengan mimpi -- persembahan secara keseluruhan, aksi secara individu, persembahan kelab dan pasukan kebangsaan."
#Cristiano Ronaldo #jurulatih #Liga Juara-Juara #Real Madrid
;