Cristiano Ronaldo sah sertai Juventus

Israr Khalid
Julai 10, 2018 05:30 MYT
Cristiano Ronaldo masih bernilai pada usia 33 tahun - REUTERS/Toru Hanai
REAL MADRID mengesahkan bahawa sensasi Portugal, Cristiano Ronaldo akan meninggalkan kelab itu untuk menyertai Juventus dengan nilai perpindahan lebih 100 juta Euro (RM473 juta).
Ronaldo dilaporkan bersetuju dengan terma kontrak selama empat tahun yang akan menyaksikan penyerang itu meraih gaji 30 juta Euro (RM142 juta) semusim.
Menerusi kenyataan kelab pada Rabu, Real Madrid berterima kasih kepada Ronaldo yang telah membuktikan dirinya sebagai yang terbaik di dunia dan menjadi individu bertanggungjawab melakar satu daripada sejarah paling gemilang kelab dan dunia bola sepak secara seluruhnya.
"Melangkaui kejayaan merangkul gelaran dan trofi serta keunggulan dicapai di atas padang sepanjang sembilan tahun ini, Cristiano Ronaldo telah menjadi contoh dedikasi, kerja, tanggungjawab, bakat dan penambahbaikan.
"Untuk Real Madrid, Cristiano Ronaldo akan sentiasa menjadi salah satu daripada simbol unggul dan rujukan yang unik untuk generasi seterusnya," kata kenyataan tersebut.
Pengumuman itu disusuli dengan surat terbuka daripada Ronaldo, menyatakan penghargaan tertingginya kepada peminat yang setia bersamanya sepanjang berada di Madrid.
Pengakhiran kerjayanya di kelab itu kuat diperkatakan apabila Ronaldo memberi bayangan akan meninggalkan Santiago Bernabeu selepas kejayaan menjulang Liga Juara-Juara Eropah pada Mei.
Pada Selasa, Presiden Juventus, Andrea Agnelli terbang dari Pisa untuk bertemu Ronaldo yang sedang bercuti di Kalamata, Greece dan kemudian disertai ejennya, Jorge Mendes yang tiba dari England.
Ronaldo, 33, memecahkan rekod yuran perpindahan pemain termahal apabila menyertai Madrid dari Manchester United pada 2009.
Sepanjang sembilan tahun itu, pemain kelahiran Madeira itu berjaya merangkul 15 trofi, termasuk dua gelaran La Liga dan dua kejuaraan Copa del Rey.
Dia turut membantu Los Blancos memenangi La Decima, iaitu gelaran kesepuluh Liga Juara-Juara dengan menewaskan musuh tetangga, Atletico Madrid di final 2014 dan memainkan peranan penting dalam memenangi kejohanan itu untuk tiga musim berturut-turut.
#Cristiano Ronaldo #Juventus #Manchester United #Portugal #Real Madrid
;