Cristiano Ronaldo janji dedah spekulasi masa depannya
Astro Arena
Ogos 17, 2022 10:45 MYT
Ogos 17, 2022 10:45 MYT
PENYERANG Manchester United, Cristiano Ronaldo, sedia ditemu bual dalam tempoh beberapa minggu akan datang bagi menjelaskan spekulasi mengenai hala tujunya.
Bintang berusia 37 tahun itu buat pertama kali tampak kurang berminat memberi komitmen terhadap kariernya selepas dia dilaporkan mencari jalan keluar untuk meninggalkan Old Trafford.
Beberapa kelab terbesar di dunia - termasuk Juventus, Chelsea dan Atletico Madrid - kononnya dikatakan telah menolak peluang untuk menandatanganinya tetapi bintang Portugal itu percaya kebanyakan laporan media yang menumpukan mengenai topik masa depannya adalah tidak tepat.
Sebagai tindak balas terhadap satu mesej daripada laman peminat di Instagram, Ronaldo mengkritik spekulasi sedemikian sambil pemenang lima Ballon d'Or itu memaklumkan sedia berkongsi mengenai perancangan masa depannya sedikit masa lagi.
Komennya berbunyi: "Mereka akan tahu kebenarannya apabila saya mengadakan wawancara dalam beberapa minggu lagi. Media hanya berdusta.
"Saya mempunyai buku catatan dan dalam beberapa bulan terakhir ini, daripada 100 berita yang diterbitkan hanya lima sahaja yang tepat, jadi bayangkanlah bagaimana keadaannya," katanya.
Ronaldo membuat permulaan pertama musim ini dalam kekalahan memalukan 0-4 kepada Brentford, Ahad lalu.