Cristiano Ronaldo belum tentu sesuai falsafah Bayern, Kane dianggap sepadan
Astro Arena
Julai 17, 2022 05:09 MYT
Julai 17, 2022 05:09 MYT
CRISTIANO Ronaldo dilaporkan cuba meninggalkan Manchester United tetapi destinasinya bukanlah Bayern Munich.
Gergasi Bavaria itu mengesahkan penjualan Robert Lewandowski ke Barcelona dengan bayaran yang dilaporkan mencecah €50 juta (RM224.1j) berdasarkan prestasi, secara tidak langsung kehilangan seorang penggempur yang menyumbangkan 50 gol untuk mereka musim lalu.
Bayern telah pun bertindak untuk meminimakan kesan pemergian Lewandowski dengan menandatangani Sadio Mane daripada Liverpool, sementara pemain tengah, Ryan Gravenberch, serta pertahanan kanan, Noussair Mazraoui, baru-baru ini dipancing daripada Ajax.
Bagaimanapun, laporan mengaitkan juara Bundesliga itu berminat dengan kelibat Ronaldo yang dikhabarkan ingin berpindah -- kurang setahun selepas kembali ke Old Trafford -- berikutan tidak layak ke Liga Juara-Juara (UCL) musim depan.
Bercakap kepada BILD Sport, Ketua Pegawai Eksekutif Bayern, Oliver Kahn, cuba meredakan khabar angin bahawa mereka berhajat membawa masuk pemain berusia 37 tahun itu yang meledak 24 gol dalam 38 perlawanan musim lalu.
"Saya menggemari Cristiano Ronaldo," katanya.
"Seorang pemain yang hebat tetapi setiap kelab mempunyai falsafah dan saya tidak pasti sama ada ia akan menjadi isyarat yang tepat untuk Bayern dan Bundesliga jika kami menandatanganinya sekarang. Perpindahan sedemikian tidak semestinya sesuai dengan idea kami."
Bekas penjaga gol Bayern dan Jerman itu sebaliknya lebih positif tentang seorang lagi bintang Liga Perdana Inggeris (EPL) yang berpotensi berpindah ke Allianz Arena.
Penyerang Tottenham, Harry Kane, makin hangat dikaitkan dengan kelab itu kebelakangan ini dan Kahn seolah-olah berminat menjadikan ketua pasukan England tersebut sebagai sasaran pada masa akan datang.
"Dia masih terikat dengan kontrak di Tottenham," katanya lagi.
"Sudah tentu dia seorang penyerang terbaik tetapi ia semua impian masa depan. Jadi mari kita lihat apa yang akan berlaku."