COVID-19: Skuad Chelsea diberi amaran ekoran insiden Mount

Astro Arena
Mac 17, 2020 09:30 MYT
Gambar Mount dirakam ketika bermain bola sepak lima sepasukan di samping teman rapat dan pemain tengah West Ham, Declan Rice, Ahad lalu. - Astro ARENA
CHELSEA telah mengingatkan pemainnya berhubung tanggungjawab mereka selepas gambar Mason Mount bermain bola sepak di khalayak ramai tatkala dia sepatutnya menjalani kuarantin berikutan pandemik wabak koronavirus baru (COVID-19).
Seluruh pasukan utama Chelsea, kakitangan kejurulatihan dan beberapa anggota belakang tabir diperintahkan supaya mengasingkan diri selepas Callum Hudson-Odoi disahkan positif Jumaat lalu.
Hudson-Odoi, 19, muncul pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) pertama yang diuji positif wabak itu.
Gambar Mount sebaliknya dirakam ketika bermain bola sepak lima sepasukan di samping rakan dekat dan pemain tengah West Ham, Declan Rice, Ahad lalu.
Tidak seperti Chelsea, West Ham tidak melaksanakan prosedur pengasingan.
Stas Perform difahamkan kesemua skuad utama Chelsea telah diperingatkan semula agar mematuhi tanggungjawab mereka.
Berikutan penularan pandemik itu, EPL telah ditunda sehingga 3 April depan.
Namun, ramai yang percaya bahawa aksi bulan depan adalah sasaran yang tidak realistik memandangkan penularan COVID-19 masih belum sampai ke puncaknya di United Kingdom.
Serie A Itali juga ditangguhkan sehingga 3 April depan biarpun presiden Persekutuan Bolasepak Itali (FIGC), Gabriele Gravina, mengakui masih samar kerana negara itu teruk dilanda wabak berkenaan.
#amaran #bola sepak #Callum Hudson-Odoi #Chelsea #COVID-19 #EPL #isolasi #Itali #jurlatih #koronavirus #kuarantin #Liga Perdana Inggeris #Mason Mount #pemain bola #pengasingan #United Kingdom
;