Covid-19: Pertahanan Watford disahkan positif
Astro Arena
Mei 21, 2020 14:00 MYT
Mei 21, 2020 14:00 MYT
PERTAHANAN Watford, Adrian Mariappa, mendedahkan dia telah disahkan positif coronavirus.
Kelmarin, Liga Perdana Inggeris mengumumkan sebanyak enam kes positif daripada tiga kelab selepas ujian dijalankan ke atas pemain dan staf daripada 19 pasukan.
Semalam, Burnley mengesahkan pembantu jurulatih, Ian Woan, positif dan Mariappa mengakui terkejut selepas mengetahui dia turut menerima nasib sama.
"Agak menakutkan apabila anda berasa sihat dan tidak meninggalkan rumah tetapi masih dijangkiti virus," katanya.
"Jika saya tidak kembali ke latihan dan menjalani ujian ini, saya tidak akan tahu telah dijangkiti virus serta melalui kehidupan seperti biasa. Agak mengejutkan.
"Saya tinggal dengan tiga orang anak yang berusia lima, sembilan dan 11 tahun serta pasangan dan kini, saya sedikit risau tentang mereka.
"Mereka dalam keadaan baik dan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda dijangkiti tetapi anda tidak boleh membantu, cuma menjarakkan diri apabila disahkan positif."
Mereka yang disahkan positif akan menjalani proses pengasingan selama tujuh hari.