COVID-19: Perlumbaan F1 Grand Prix Shanghai ditunda
Agensi
Februari 12, 2020 21:20 MYT
Februari 12, 2020 21:20 MYT
Perlumbaan Formula Satu (F1) Grand Prix (GP) Shanghai yang dijadualkan berlangsung 19 April depan, telah ditunda susulan wabak COVID-19 yang melanda China.
Memetik laporan Reuters, keputusan itu dibuat oleh dua badan penyelia perlumbaan, iaitu FIA dan Formula 1.
"Berikutan kebimbangan kesihatan yang berterusan dan dengan pengisytiharkan wabak ini sebagai darurat kesihatan global oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), FIA dan Formula 1 telah mengambil langkah (untuk menunda acara) ini.
"FIA dan Formula 1 akan terus bekerjasama rapat dengan pasukan, penganjur, CAMF (Persekutuan Sukan Automobil dan Motosikal Republik Rakyat China) dan pihak berkuasa tempatan untuk memantau perkembangan wabak tersebut," kata FIA dan Formula 1 dalam satu kenyataan bersama.
Menurut kenyataan itu lagi, satu tarikh yang sesuai juga akan dipertimbangkan sekiranya keadaan bertambah baik.
Jika perlumbaan GP Shanghai dibatalkan, ia sekali gus menandakan terdapat empat minggu cuti dalam pertengahan kalendar F1.
GP Vietnam yang julung kalinya diadakan bakal berlangsung pada awal April tanpa GP Shanghai.
Tiada perlumbaan lain selepas itu sebelum GP Belanda yang dijadualkan pada awak bulan Mei.
Perlumbaan F1 di China diadakan di Litar Antarabangsa Shanghai sejak 2004.
#China
#COVID-19
#F1
#FIA
#Formula One
#GP Belanda
#GP Shanghai
#GP Vietnam
#koronavirus
#Perlumbaan Formula Satu