COVID-19: Minit permainan mungkin dikurangkan - CEO PFA
Astro Arena
Mei 6, 2020 09:56 MYT
Mei 6, 2020 09:56 MYT
GORDON Taylor mendedahkan cadangan untuk mengadakan perlawanan kurang dari 45 minit untuk setiap babak jika saingan bola sepak di England kembali bersambung.
Tiada perlawanan dianjurkan sejak pertengahan Mac lalu berikutan ancaman pandemik COVID-19, justeru presiden kesatuan pemain itu membayangkan perlawanan hanya akan bersambung sekurang-kurangnya pertengahan bulan depan.
Pengelola Liga Perdana, telah melancarkan 'Project Restart' dalam usaha mengakhiri kempen 2019/20 dengan perlawanan mungkin dilangsungkan di gelanggang berkecuali di England mahupun di luar negara.
Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pula mencadangkan tambahan bilangan pemain gantian dalam usaha untuk meringankan beban pemain di atas padang yang berdepan jadual padat jika aksi kompetitif kembali.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persatuan Pemain Profesional (PFA) itu berkongsi maklumat bahawa pengurusan jumlah perlawanan juga menjadi topik perbincangan.
Dalam program BBC Radio 4 Today semalam, beliau berkata: "Kami tidak pasti mengenai masa depan, apa yang kami tahu ialah cadangan dan idea yang telah dikemukakan.
"Kemungkinan bilangan pertukaran pemain akan ditambah, permainan mungkin tidak berlangsung selama 45 minit bagi setiap babak.
"Kami juga membincangkan mengenai stadium berkecuali, ada banyak perkara yang diusulkan. Kami perlu tunggu dan lihat apakah perancangannya, kemudian memberi ruang buat pengurus, jurulatih dan pemain untuk memberikan pandangan terhadap cadangan yang diberikan."
Taylor yakin adalah tidak realistik untuk mengharapkan perlawanan berlangsung sebelum pertengahan bulan depan.
Menurutnya lagi: "Saya tidak akan mengharapkan perlawanan segera diadakan. Jika segalanya positif dan meyakinkan, saya masih tidak menganggap aksi akan diadakan hingga sekitar pertengahan bulan depan."
Penyerang Manchester City, Sergio Aguero, berkata pemain berasa "gusar" untuk kembali tatkala Taylor menganggap pilihan terletak di tangan mereka, sama ada sanggup untuk berada di atas padang.
Kata CEO PFA berpengalaman luas itu: "Sergio merupakan pemain elit dan tentu saja dia berhak memberikan pendapatnya.
"Ini bukan masalah mengenai kebimbangan, ini berkenaan dengan maklumat yang boleh disalurkan oleh pihak berkuasa yang terbabit untuk cuba dan memastikannya keadaan adalah selamat untuk pemain kembali beraksi.
"Untuk membuat kenyataan tertentu atau hanya cenderung membuat pertimbangan tertentu adalah tidak begitu adil sehinggalah kami dapat melihatnya secara menyeluruh."
Tambahnya: "Mereka adalah ahli sukan profesional, tentu saja mereka prihatin tentang keselamatan sendiri, mereka bukannya tidak tahu, jadi mereka harus berpuas hati bahawa adalah selamat untuk kembali beraksi kerana itu adalah pilihan mereka."
#CEO
#COVID-19
#England
#EPL
#FIFA
#Gordon Taylor
#LaLiga
#MAnchester
#PFA
#pilihan berada atas padang