COVID-19: Mbappe beri sumbangan kepada Yayasan Abbe Pierre

Astro Arena
Mac 28, 2020 12:41 MYT
Yayasan Abbe Pierre berterima kasih kepada Kylian Mbappe (gambar) di atas sikap pemurah dan kesedarannya terhadap mereka yang memerlukan. - Astro ARENA
KYLIAN Mbappe memberikan sumbangan yang besar kepada Yayasan Abbe Pierre, yang berpangkalan di Paris, bagi membantu memerangi pandemik COVID-19.
Ligue 1, bersama-sama kebanyakan acara sukan utama, telah ditunda berikutan wabak berkenaan, yang telah mengakibatkan lebih daripada 27,000 kematian di seluruh dunia.
Perancis merekodkan lebih daripada 32,964 kes positif dan bagi membantu yayasan berkenaan, bintang Paris Saint-Germain (PSG) dan Perancis, Mbappe, mendermakan sejumlah besar daripada gajinya untuk kerja-kerja amal itu.
"Sedar akan akibat krisis kesihatan serius yang menyerang negara kita, termasuk semua kesan wabak berkenaan kepada mereka yang terjejas, Kylian Mbappe baru sahaja memberikan sumbangan yang sangat besar untuk menyokong usaha Yayasan Abbe Pierre," kata yayasan berkenaan dalam satu kenyataan.
"Kemurahan hatinya akan membantu, khususnya dalam mengimplementasi tindakan pertolongan cemas: akses kepada air dan kebersihan untuk mereka yang dalam situasi yang sangat tidak menentu, akses kepada makanan dan tempat tinggal bagi orang-orang yang tidak berumah.
"Yayasan ini ingin berterima kasih kepada Kylian Mbappe di atas sikap pemurah dan kesedarannya terhadap mereka yang memerlukan."
Yayasan itu, bagaimanapun, tidak mendedahkan jumlah sebenar yang disumbangkan Mbappe.
#COVID-19 #gaji #kematian #kerja amal #Kylian Mbappe #Paris #pendemik #pertolongan cemas #sumbangan #wabak
;