COVID-19: Kes positif pasukan NSFC bukan isu besar - MFL

Hilmi Malik
Oktober 24, 2021 05:45 MYT
Stuart berkata isu COVID-19 telah menjadi perkara biasa namun apa yang penting bagaimana soal kita mengurus krisis kesihatan ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR : Penularan kes COVID-19 dalam arena sukan bola sepak tidak sepatutnya dianggap sebagai satu isu besar kata Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam.
Ujarnya, isu COVID-19 bukan lagi perkara baharu malah usaha untuk mengawalnya pada tahap sepenuhnya adalah agak mustahil.
“Isu COVID-19 telah menjadi perkara biasa namun apa yang penting bagaimana soal kita mengurus krisis kesihatan ini.
“COVID-19 menular di merata tempat dan menjadi tanggungjawab kita untuk pastikan tindakan untuk mengawal penularan dan MFL sendiri berusaha untuk pastikan keadaan itu terkawal melibatkan semua pasukan yang bertanding,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.
Mengulas lanjut, isu 20 pemain Pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) yang dijangkiti COVID-19 adalah satu perkara yang sukar untuk dikenal pasti puncanya.
Malah tegas Stuart Ramalingam, pihak MFL sentiasa mengutamakan soal prosedur operasi standard (SOP) sewaktu di peringkat awal penularan pandemik.
“Sanitasi dilaksanakan sebelum dan selepas perlawanan sebelum ini dan penularan yang berlaku melibatkan peringkat sosial dan tiada berlaku penularan di atas padang.
“Kita laksana langkah awal termasuk melakukan ujian saringan untuk memastikan tiada penularan yang berlaku melibatkan fasiliti sukan terlibat,” katanya lagi.
Sebagai rekod, ini adalah rekod paling tinggi COVID-19 dicatatkan melibatkan kes dalam kalangan pasukan Liga Malaysia yang sebelum ini pernah ­‘menyerang’ KDA FC, Kuching City dan Sarawak United.
#MFL #NSFC #COVID-19 #Piala Malaysia
;