COVID-19: Kejohanan Badminton Para Sepanyol 2020 dibatalkan
Bernama
Mac 7, 2020 14:24 MYT
Mac 7, 2020 14:24 MYT
Kejohanan Antarabangsa Badminton Para Sepanyol 2020 yang dijadualkan berlangsung di Cartagena, Murcia, bermula pada 10 Mac ini dibatalkan susulan peningkatan kebimbangan terhadap wabak COVID-19.
Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, Persekutuan Badminton Sepanyol (SBF) membuat keputusan itu semalam (Jumaat) selepas menerima nasihat pihak berkuasa kesihatan Majlis Perbandaran Murcia.
BWF berkata ia perlu menghormati keputusan SBF kerana kebajikan pemain, rombongan mereka, penyokong dan pegawai di kejohanan itu merupakan kepentingan utama.
Badan pentadbir badminton dunia itu menegaskan ia tidak merancang untuk melakukan sebarang pelarasan ke atas tempoh kelayakan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 yang akan berakhir pada 2 April depan.
Kejohanan Antarabangsa Badminton Para Sepanyol adalah pertandingan kelayakan terakhir untuk pemain badminton para mengumpul mata ke Sukan Paralimpik Tokyo.
Sebelum ini, empat acara kelayakan bukan Olimpik juga dibatalkan atau ditangguh berikutan kebimbangan terhadap COVID-19.
Acara terbabit ialah Kejohanan Badminton Para Fazza-Dubai Ketiga dijadualkan berlangsung di Emiriah Arab Bersatu dari 2 hingga 7 April; Siri Antarabangsa Remaja Thailand 2020 di Bangkok dari 21 hingga 26 April; Siri Antarabangsa Remaja Mongolia di Ulaanbaatar dari 19 hingga 24 Mei dan Cabaran Antarabangsa Mongolia di Ulaanbaatar dari 26 hingga 31 Mei.
-- BERNAMA
#BWF
#cartagena
#COVID-19
#kejohanan badminton
#koronavirus
#para sepanyol
#persekutuan badminton dunia