COVID-19: Kalou digantung gara-gara berjabat tangan
Astro Arena
Mei 5, 2020 09:13 MYT
Mei 5, 2020 09:13 MYT
SALOMON Kalou digantung oleh Hertha Berlin setelah dia didapati berpotensi membahayakan harapan Bundesliga untuk kembali beraksi bulan ini apabila mengabaikan langkah-langkah penjarakan sosial.
Penyerang veteran dari Ivory Coast itu menayangkan video secara langsung di Facebook peribadinya yang sudah dipadamkan - menunjukkan dia berjabat tangan dengan rakan sepasukan dan kakitangan kelab berkenaan.
Kalou saling bersentuhan dengan Vedad Ibisevic dengan gaya mengacukan buku limanya dan kapten Hertha itu juga seolah-olah merungut mengenai pemotongan gaji berikutan pandemik COVID-19.
Bekas pemain Chelsea itu juga mengganggu pertahanan Jordan Torunarigha yang sedang menjalani ujian saringan pandemik berkenaan.
Satu kenyataan daripada Hertha berbunyi: "Dengan videonya yang disiarkannya itu, Salomon Kalou memberi gambaran bahawa pemain Hertha BSC tidak memandang serius garis panduan penjarakan sosial dan langkah kebersihan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.
"Hertha BCS ingin menjelaskan bahawa ini adalah kesalahan seorang pemain. Hakikatnya ahli pasukan yang lain tidak mengabaikan pematuhan larangan berjabat tangan, ia menjelaskan bahawa peraturan penjarakan sosial perlu ditingkatkan lagi.
"Rakaman itu diambil di dalam bilik persalinan, Kalou jelas melanggar peraturan dalaman dan memperlihatkan tingkah laku yang tidak sesuai dalam situasi ketika ini atau mencerminkan Hertha BSC. Oleh itu, kelab telah memutuskan untuk menggantungnya daripada latihan dan perlawanan berkuat kuasa serta-merta."
Dalam masa sama, Hertha menjelaskan tindakan pemotongan gaji sebenarnya dipersetujui barisan pemain dan tiada rungutan mengenainya ketika mereka melakukan perbincangan secara terbuka.
Bekas pemain Chelsea itu kemudian tampil memohon maaf atas keterlanjuran itu namun Liga Bolasepak Jerman (DFL) membidasnya dengan melabel ia satu tindakan yang langsung tidak boleh diterima tatkala organisasi itu cuba meyakinkan pihak kerajaan untuk membenarkan Bundesliga disambung bulan ini.
#Bundesliga
#Chelsea
#Facebook
#Hertha Berlin
#Ivory Coast
#Jerman
#Kementerian Kesihatan
#koronavirus
#Salomon Kalou