COVID-19: Ini tarikh baharu acara sukan yang dijangka dibuka semula

Najmi Syahiran Mamat
Mei 18, 2020 09:55 MYT
Selain EPL, La Liga Sepanyol dan Serie A antara acara perlawanan yang dijangka dibuka semula pada Jun. -Gambar Astro AWANI
SEPERTI kebanyakan acara besar di seluruh dunia yang terjejas akibat COVID-19, acara sukan juga tidak terkecuali ditunda ketika berdepan ancaman wabak COVID-19.
Biarpun belum ada kepastian, namun desas-desus ia akan dibuka semula kini bertiup kencang setelah lebih beberapa bulan pemain tidak ‘turun padang’.
Berikut merupakan tarikh baharu bagi acara perlawanan sukan bermusim yang dinanti-nantikan peminat saban tahun.
Liga Perdana Inggeris (EPL)
Kerajaan United Kingdom (UK) mengumumkan bahawa tiada sebarang aktiviti sukan di England sekurang-kurangnya hingga 1 Jun depan.
Perdana Menteri Boris Johnson baru-baru ini mengumumkan mengenai satu hala tuju yang menjelaskan betapa perintah berkurung di negara itu mungkin dilonggarkan, namun masih tidak menetapkan bila aktiviti sukan profesional akan kembali dibenarkan.
Menerusi satu rancangan ‘Project Restart’, kelonggaran itu, bagaimanapun, selari dengan syarat yang ketat seperti tiada kehadiran penonton ketika perlawanan di stadium dan pengurangan minit permainan.
BACA: COVID-19: EPL bersambung seawalnya 1 Jun ini
BACA: COVID-19: Minit permainan mungkin dikurangkan - CEO PFA
Terbaharu, Ketua Eksekutif Persatuan Pemain Bolasepak Profesional, Gordon Taylor berkata pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) tidak mahu dilihat sebagai tikus uji kaji dalam rancangan itu.
Sukan permotoran
Perlumbaan motosikal antarabangsa beradrenalin tinggi mungkin kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) seawal bulan September dan hanya menunggu kelulusan daripada pihak berkepentingan yang relevan dan situasi pandemik COVID-19 semakin pulih.
Promoter Formula 4 Asia Tenggara (F4SEA) Peter Thompson percaya perlumbaan itu mungkin kembali ke litar terkenal tersebut dalam tempoh empat bulan lagi namun amat bergantung kepada keputusan kerajaan untuk membuka semula sempadan negara.
Susulan pandemik itu, Thompson berkata musim 2020 akan bermula dengan hanya 16 pelumba bersaing dalam kejohanan itu berbanding 37 pelumba pada tahun lepas.
Dalam pada itu, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah membuka peluang kepada SIC untuk membenarkan sesi latihan peribadi dengan mengenakan langkah-langkah keselamatan.
Ia termasuk mengehadkan 10 orang bagi setiap sesi dalam usaha mematuhi PKPB, yang dilanjutkan sehingga 9 Jun.
Serie A
Berikutan penangguhan selama tiga bulan akibat pandemik COVID-19, Serie A mengumumkan 13 Jun sebagai tarikh penyambungannya semula musim 2019-2020 itu.
Pengumuman itu dibuat setelah Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) menerima permintaan untuk menyesuaikan protokol perubatan mereka agar lebih selaras dengan peraturan kerajaan.
Sesi latihan secara individu awal bulan ini merupakan normal baharu bagi pasukan itu selepas diberikan lampu hijau untuk kembali memulakan sesi latihan.
La Liga Sepanyol
Biarpun mengumumkan terdapat lima pemain dan tiga staf dalam kalangan pasukan itu dijangkiti COVID-19, Presiden La Liga Sepanyol Javier Tebas membayangkan perlawanan itu boleh bermula pada 12 Jun ini.
Namun, jelasnya, keputusan mereka tetap terikat dengan polisi kesihatan kerajaan.
Beliau memberi jaminan bahawa sekiranya perlawanan kembali beraksi, para pemain pasukan itu akan menjalani ujian saringan COVID-19 terlebih dahulu.
Liga Jerman, Bundesliga
Liga Jerman, Bundesliga bersambung semula dengan menjadi liga pertama meneruskan bola sepak bagi liga utama Eropah.
Ia menyaksikan perlawanan antara Borussia Dortmund dan Schalke di Signal Iduna Park pada Sabtu lalu (16 Mei).
Meskipun dibuat dalam suasana normal baharu, saingan bola sepak itu menimbulkan kritikan dari peminat yang tidak bersetuju ia diadakan ketika pandemik COVID-19 masih mengorbankan nyawa di seluruh dunia.
#Bundesliga #COVID19 #England #EPL #Jerman #La Liga Sepanyol #Liga Perdana Inggeris #Sepang #Serie A #SIC #United Kingdom
;