COVID-19: FAM bincang hala tuju bola sepak belia melalui tiga siri webinar
Bernama
Februari 9, 2021 04:03 MYT
Februari 9, 2021 04:03 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil inisiatif mengadakan tiga siri webinar bagi membincangkan hala tuju bola sepak belia di Malaysia dalam situasi pandemik COVID-19 yang masih melanda negara ini.
Siri pertama selama dua jam semalam melibatkan 111 peserta yang terdiri daripada pengarah teknikal daripada setiap ahli gabungan FAM, ketua jurulatih pasukan Piala Presiden, ketua jurulatih pasukan Piala Belia, ketua jurulatih Pusat Latihan Daerah (PLD) dan jurulatih Sekolah Sukan Negeri (SSN) dari seluruh negara.
Pengarah Teknikal FAM Datuk Ong Kim Swee berkata selain memberi fokus kepada trend terkini bola sepak belia, webinar itu turut membincangkan tentang perancangan serta persiapan FAM bagi menyertai kejohanan besar.
"Siri webinar ini akan menumpukan banyak aspek dan pada masa sama juga kita inginkan peserta menyertai dengan memberikan maklum balas mengenai apa yang mereka fikirkan untuk membantu bola sepak remaja di Malaysia.
"Daripada siri webinar ini juga, sudah tentu kita akan mendapatkan rumusan nanti dan setiap peserta berhak menyuarakan pendapat mereka. Dari situ, kita akan memperbaikinya dan kita harap semua pihak dapat memberikan kerjasama yang cukup baik," kata Kim Swee dalam laman web rasmi FAM https://fam.org.my.
Siri kedua webinar bakal berlangsung pada Selasa depan (16 Feb) manakala siri ketiga pada 18 Feb, dengan peserta akan membentangkan secara berkumpulan mengikut zon bagi beberapa topik yang dipilih.
-- BERNAMA