COVID-19: Enggan gaji dipotong, 9 pemain FC Sion dipecat

Astro Awani
Mac 21, 2020 20:06 MYT
Stadium dikosongkan semasa perlawanan Borussia Moenchengladbach dengan FC Cologne. - Foto AP.
SEMBILAN pemain kelab bola sepak Sweden, FC Sion termasuk dua bekas pemain Arsenal, Alex Song dan Johan Djourou dipecat selepas enggan menandatangani perjanjian pemotongan gaji sepanjang penggantungan liga akibat krisis virus COVID-19.
Liga Super Switzerland dihentikan pada 1 Mac apabila kerajaan negara itu mengharamkan perhimpunan lebih daripada 1,000 orang.
Sion menduduki tangga ke-19 liga dan berada empat mata di luar zon penyingkiran dengan baki 13 perlawanan untuk dihabiskan musim ini.
Selain Song dan Djourou, kapten pasukan, Xavier Kouassi, bekas pemain pinjaman Newcastle, Seydou Doumbia, bersama Ermir Lenjani, Mickael Facchinetti, Christian Zock dan Birama Ndoye turut dipecat.
Pemotongan gaji pemain bola sepak bermula di Jerman yang turut terkesan akibat coronavirus.
Pemain-pemain Borussia Mönchengladbach secara sukarela menawarkan pemotongan gaji namun di Scotland, kelab seperti Hearts menyaksikan gaji pemain sepenuh masa dipotong sebanyak 50 peratus ataupun menerima pembatalan kontrak.
Pengarah Bola Sepak Borussia, Max Eberl memberitahu pemain-pemain kelab itu berjumpa dengan pengurusan kelab dengan tawaran pemotongan gaji sukarela, yang turut diikuti jurulatih, pengarah dan eksekutif lain dalam kelab.
Jika bermain dalam stadium tanpa penonton, kelab Jerman itu menanggung kerugian sebanyak 2 juta euro setiap perlawanan.
Liga bola sepak Eropah ditangguhkan akibat penularan wabak coronavirus yang serius di benua itu, dengan Itali menjadi negara pertama perlawanan dimainkan tanpa penonton, sebelum ia digantung.
Liga Perdana Inggeris (EPL) turut dilanjutkan penggantungannya sehingga sekurang-kurangnya 30 April selain Kejohanan Bola Sepak Eropah, Euro 2020 ditunda ke musim panas tahun depan.
#Alex Song #Arsenal #coronavirus #COVID-19 #EPL #Euro 2020 #FC Sion #Johan Djourou #Switzerland
;