COVID-19: AFC tunda kejohanan B-16, B-19
Bernama
September 10, 2020 23:15 MYT
September 10, 2020 23:15 MYT
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memutuskan untuk menunda Kejohanan AFC Bawah 16 Tahun (B-16) dan AFC Bawah 19 Tahun (B-19) 2020, yang dijadualkan berlangsung di Bahrain dan Uzbekistan pada Oktober, ke awal 2021 berikutan penularan pandemik COVID-19.
AFC dalam satu kenyataan hari ini berkata, pandemik itu telah menjejaskan persediaan mereka untuk menganjurkan kejohanan itu, selain mempertimbangkan keperluan untuk mengutamakan kebajikan pemain-pemain muda, serta risiko perjalanan dan kesihatan mereka.
"Ini adalah masa sukar bagi semua yang terlibat dengan bola sepak - dan sukan secara umumnya. Kami mengambil langkah untuk memastikan yang terbaik untuk AFC dan ahli gabungannya.
"Saya yakin dengan keharmonian dan perpaduan yang menjadikan AFC dikagumi dalam arena bola sepak, kita boleh atasi cabaran terbaru ini," kata Presiden AFC Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa, dalam kenyataan tersebut.
Badan pengelola bola sepak Asia itu juga telah memutuskan untuk membatalkan Piala AFC 2020 dan Piala Solidariti AFC, manakala Kejohanan Kelab Futsal AFC 2020 juga dibatalkan, dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menjadi tuan rumah tahun depan.
Bagaimanapun Kejohanan Futsal AFC 2020 yang dijadualkan berlangsung di Turkmenistan pada November, kini akan diadakan di Kuwait dengan tarikh baharu iaitu 2-13 Dis untuk memberi masa kepada ahli gabungan membuat persiapan pertandingan berkenaan.
Sementara itu, AFC mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Bola Sepak Qatar atas kesediaan mereka menjadi tuan rumah Liga Juara-Juara AFC, Zon Barat.
Jawatankuasa Eksekutif AFC juga bersetuju bahawa perlawanan akhir Liga Juara-Juara AFC akan berlangsung di Zon Barat pada 19 Dis, dengan perlawanan tunggal dan bukan dalam format timbal balik.
"Kerja-kerja yang banyak telah dilaksanakan untuk memastikan kejohanan-kejohanan ini dapat dimulakan pada 14 Sept dan AFC amat profesional dalam memastikan bahawa kejohanan itu dapat diadakan dengan selamat," tambah Shaikh Salman.
Sementara itu, perlawanan Zon Timur Liga Juara-Juara AFC yang dijadualkan berlangsung dari 17 Okt hingga 1 Nov, kini akan diadakan antara 15 Nov dan 13 Dis.
Malaysia terpilih sebagai tuan rumah untuk perlawanan Kumpulan G dan H, Liga Juara-Juara 2020 Zon Timur, serta dua daripada perlawanan pusingan 16 terbaik, sementara venue untuk Kumpulan E dan F serta perlawanan peringkat kalah mati, belum ditetapkan lagi.
-- BERNAMA
#afc
#Asia
#bola sepak
#COVID-19
#Kejohanan AFC
#kesihatan
#Malaysia
#pandemik
#perpaduan
#presiden
#Qatar
#rumah
#tunda
#UAE