Coric tewaskan Nadal dalam Cincinnati Masters
Bernama
Ogos 18, 2022 05:15 MYT
Ogos 18, 2022 05:15 MYT
ANKARA: Borna Coric, pemain tenis dari Croatia, menundukkan pemain nombor 2 dunia Rafael Nadal dalam Cincinnati Masters pada Rabu ketika bintang Sepanyol itu kembali beraksi selepas mengalami kecederaan di bahagian perut ketika kejohanan Wimbledon.
Coric, 25, memenangi perlawanan itu menerusi tiga set permainan iaitu 7-6 (9), 4-6, 6-3 untuk layak ke pusingan ketiga di Cincinnati, acara WTA 1000 di Ohio.
Pemain Croatia itu beraksi selama dua jam 51 minit sebelum menumpaskan Nadal yang berusia 36 tahun, lapor Agensi Anadolu.
Coric dijadual menentang seorang lagi pemain Sepanyol Roberto Bautista Agut.
Pada Julai, Nadal, pemenang kejuaraan Grand Slam 22 kali dalam perseorangan lelaki, menarik diri daripada separuh akhir Wimbledon ketika menentang Nick Kyrgios akibat mengalami kecederaan di bahagian perut.
-- BERNAMA