Copa del Rey: Dua gol Torres bantu Atletico benam Real Madrid
AFP
Januari 16, 2015 08:38 MYT
Januari 16, 2015 08:38 MYT
Bintang kebangsaan Sepanyol, Fernando Torres menjaringkan gol pertamanya buat kelab Atletico Madrid dalam tempoh lapan tahun sekali gus membantu menyingkirkan Real Madrid dalam saingan 16 pasukan terakhir kejohanan Copa del Rey.
Atletico mencatatkan keputusan seri 2-2 dalam aksi awal pagi tadi dan mara ke pusingan seterusnya dengan agregat 4-2.
Perlawanan yang berlangsung di Santiago Bernabeu, menyaksikan Atletico berbekalkan kemenangan 2-0 dari aksi pertama perlawanan timbal balik.
Torres menyerlah dengan jaringan seawal minit pertama sebelum Sergio Ramos membalas jaringan untuk Real Madrid mengikat kedudukan 1-1 pada minit ke-20.
Babak kedua, Torres sekali lagi cemerlang apabila meletakkan Atletico kembali di depan dengan jaringan peribadi keduanya pada minit ke 46.
Pemenang anugerah Pemain Terbaik Dunia 2014, Cristiano Ronaldo memastikan tuan rumah sekurang-kurangnya seri di laman sendiri untuk menyamakan kedudukan 2-2.
Keputusan kekal hingga tamat perlawanan dengan Atletico mara dan Real tersingkir dari saingan.