Copa America: Uruguay remukkan impian Amerika Syarikat di laman sendiri

Astro Arena
Julai 2, 2024 11:15 MYT
Jaringan Mathias Olivera pada minit ke-66 sudah cukup untuk memadam impian tuan rumah. - Stadium Astro
AMERIKA Syarikat (AS) tersingkir daripada Copa America 2024 selepas kecundang 0-1 kepada Uruguay, yang mara ke suku akhir sebagai juara Kumpulan C.
Kekalahan di Stadium Arrowsmith sebentar tadi ditambah pula dengan kemenangan 3-1 Panama ke atas pasukan tercorot, Bolivia, menyaksikan impian Stars and Stripes berkecai di peringkat pertama, bahkan di laman sendiri.
Walaupun kedua-dua pasukan secara amnya tidak begitu kreatif di depan pintu gol lawan, jaringan Mathias Olivera pada minit ke-66 sudah cukup untuk memadam impian tuan rumah.
Sementara itu, Uruguay memastikan rekod 100 peratus untuk mara ke peringkat lapan terbaik dan mengadakan pertembungan dengan naib juara Kumpulan D yang akan menanti mereka di Las Vegas, Ahad depan.
*Artikel disiarkan di Stadium Astro
#Copa America #Uruguay #Amerika Syarikat tersingkir #Mathias Olivera #suku akhir