Copa America: Brazil akan jadi tuan rumah, bukan Argentina

Astro Arena
Jun 1, 2021 10:20 MYT
Status Colombia selaku penganjur terpaksa digugurkan berikutan ketegangan politik di negara.
KONFEDERASI Bolasepak Amerika Selatan (CONMEBOL) mengesahkan bahawa Copa America 2021 akan diteruskan seperti yang dirancang dengan Brazil akan mengambil alih tugas selaku tuan rumah.
Kejohanan edisi tahun ini - yang ditunda tahun lalu berikutan pandemik COVID-19 - sepatutnya dianjurkan secara bersama oleh Colombia dan Argentina.
Bagaimanapun, status Colombia selaku penganjur terpaksa digugurkan berikutan ketegangan politik di negara itu manakala peningkatan kes koronavirus di Argentina pula memaksa kejohanan itu dianjurkan di lokasi lain.
CONMEBOL mengadakan mesyuarat semalam bagi menentukan masa depan kejohanan itu dan memilih untuk memindahkannya ke Brazil, yang merupakan juara di laman sendiri pada 2019.
Badan pengelola itu menulis dalam satu ciapan Twitter: "Copa America CONMEBOL 2021 akan berlangsung di Brazil!
"Tarikh mula dan tamat kejohanan itu telah disahkan. Venue dan jadual perlawanan akan diumumkan CONMEBOL dalam beberapa jam ini. Kejohanan peringkat pasukan kebangsaan tertua di dunia akan menggegarkan benua ini!"
Kejohanan itu akan berlangsung dari 13 Jun hingga 10 Julai ini, di mana lokasi spesifik dan jadual sebenar akan diumumkan dalam masa terdekat.
#Argentina #COVID-19 #koronavirus #Colombia #pandemik #Brazil #CONMEBOL #Copa America 2021
;