Copa America: Argentina mara ke suku akhir
Ian Johan Ariff
Jun 24, 2019 15:46 MYT
Jun 24, 2019 15:46 MYT
QATAR 0-2 ARGENTINA
Penyerang Manchester City, Sergio Aguero memastikan kemaraan Argentina ke suku akhir selepas menjaringkan gol kedua menentang pasukan jemputan, Qatar di Porto Alegre.
Aguero melepaskan rembatan dari jarak 13 meter pada minit ke-82 selepas Lautaro Martinez membuka tirai jaringan seawal minit ke-4.
Argentina menamatkan saingan kumpulan B di tempat kedua, hasil kejayaan juara kumpulan, Colombia menewaskan Paraguay 1-0.
Qatar yang menerima jemputan untuk bersaing dalam Copa America sebagai persediaan menjadi hos Piala Dunia 2022, tersingkir dengan berada di kedudukan tercorot kumpulan.
Hos Piala Dunia 2022 itu mengumpul satu mata selepas seri 2-2 dengan Paraguay sebelum ini.
Argentina akan bertemu Venezuela pada Sabtu, 29 Jun jam 3 pagi waktu Malaysia.