Copa America 2016: Mexico sahkan slot suku akhir
Astro Arena
Jun 10, 2016 14:35 MYT
Jun 10, 2016 14:35 MYT
Mexico mengesahkan slot dalam suku akhir Copa America selepas menundukkan Jamaica 2-0 di Pasadena, California, pada Jumaat.
Penyerang Bayer Leverkusen, Javier 'Chicharito' Hernandez membuka tirai jaringan tatkala perlawanan menghampiri minit ke-20.
Jaringan itu membawa makna besar buat Chicharito apabila dia kini hanya kurang satu gol daripada rekod jaringan buat El Tri.
Gol kedua Mexico pula hadir 10 minit sebelum wisel penamat dibunyikan menerusi Oribe Peralta.
Ia merupakan kemenangan ke-11 berturut-turut buat Mexico di peringkat antarabangsa.
Pengendali, Juan Carlos Osorio, membuat empat pertukaran terhadap skuad yang menang ke atas Uruguay 3-1 sebelum ini dengan menyenaraikan Guillermo Ochoa, Yasser Corona, Jesus Duenas dan Raul Jiminez.
Jamaica memulakan perlawanan dengan mantap di Pasadena dan sering mencabar barisan pertahanan Mexico.
Namun, mereka mula hilang punca selepas gawang mereka dibolosi dengan jaringan Chicharito.
Clayton Donaldson berpeluang untuk mencipta jaringan tetapi percubaannya tersasar.
Selepas itu, Jamaica seharusnya dianugerahkan sepakan penalti apabila ulang tayang jelas menunjukkan Yasser Corona menjatuhkan Donaldson tetapi pengadil menafikan mereka peluang itu.