Copa America 2016: Chile pertahan gelaran, Lionel Messi tersasar

Astro Arena
Jun 27, 2016 12:27 MYT
Penyerang Arsenal, Alexis Sanchez, muncul pemain terbaik kejohanan setelah membawa pasukannya untuk menjuarai Copa America edisi ke-100
Chile memenangi gelaran juara Copa America buat kali kedua berturut-turut selepas menewaskan Argentina menerusi sepakan penalti 4-2 di Stadium Metlife, sebentar tadi.
Kedua-dua pasukan terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain apabila Marcelo Diaz dan Marcos Rojo dilayangkan kad merah.
Buat kali kedua berturut-turut, Copa America ditentukan menerusi sepakan penalti, dengan Chile sekali lagi menempah kejayaan, sekali gus meneruskan kemarau buat Argentina yang gagal menjulang sebarang kejuaraan melebihi 20 tahun.
Ini merupakan kekalahan ketiga buat Argentina di pentas final, termasuk tewas kepada Jerman dalam Piala Dunia 2014.
Walaupun masih dibelenggu masalah kecergasan, pemain sayap, Angel Di Maria, beraksi dalam kesebelasan pertama La Albiceleste menggantikan Ezequiel Lavezzi yang mengalami kecederaan dalam perlawanan separuh akhir.
Perancang Bayern Munich, Arturo Vidal kembali menyertai skuad utama Chile selepas tidak beraksi dalam separuh akhir akibat penggantungan satu perlawanan.
Serangan bertali arus oleh kedua-dua pasukan menyaksikan Ever Banega menguji kubu pertahanan Chile seawal minit pertama, namun sekadar melepasi gawang gol.
Pada minit ke-21, penyerang Napoli, Gonzalo Higuain, pula memiliki peluang untuk meletak skuad kendalian Gerardo Martino di depan, tetapi usahanya tidak menemui sasaran.
Bersambung dalam babak kedua, Argentina terus mencari gol untuk mendahului. Pada minit ke-85, Lionel Messi mengumpan kepada Sergio Aguero tetapi penyerang Manchester City itu gagal mengawal rembatannya.
Ketika perrlawanan diteruskan selama 30 minit masa tambahan, penjaga gol Claudio Bravo berjaya menampan keluar tandukan Sergio Aguero dan sekali lagi menjadi wira selepas menidakkan rembatan Lucas Biglia.
Messi turut gagal menyempurnakan sepakan penaltinya apabila usahanya sekadar melewati palang gol.
Vidal bertindak sebagai pengambil sepakan penalti pertama buat Chile, namun Sergio Romero berjaya membaca haluan rembatannya untuk menyelamatkannya.
Akhirnya, Francesco Silva menamatkan penantian apabila menjaringkan sepakan penalti kemenangan buat Chile.
Eduardo Vargas muncul pemenang but emas selepas meledak enam gol sepanjang kejohanan, empat gol yang dihasilkan adalah ketika membenam Mexico 4-0.
Penyerang Arsenal, Alexis Sanchez, muncul pemain terbaik kejohanan setelah membawa pasukannya untuk menjuarai Copa America edisi ke-100.
#Argentina #bola sepak #Chile #Copa America 2016 #Lionel Messi
;