Conte terlepas hukuman FA kerana jadi mangsa keadaan
Astro Arena
Ogos 24, 2022 05:45 MYT
Ogos 24, 2022 05:45 MYT
PERSATUAN Bola Sepak (FA) mengenakan hukuman penggantungan satu perlawanan ke atas Thomas Tuchel tetapi Antonio Conte terlepas memandangkan pengurus dari Jerman itu yang dianggap telah mencetuskan pertelagahan mereka selepas Chelsea seri 2-2 dengan Tottenham.
Perlawanan getir Liga Perdana Inggeris (EPL) di antara dua seteru London itu pada minggu lalu berakhir dengan adegan tegang membabitkan perbalahan Tuchel dan Conte.
Mereka sempat berdebat ketika perlawanan sebelum ia memuncak sebaik wisel penamat ditiup apabila Tuchel dengan kuat menggenggam tangan Conte ketika mereka berjabat tangan hingga mencetuskan keadaan huru-hara.
Pengadil, Anthony Taylor, kemudian bertindak melayangkan kad merah kepada kedua-duanya.
Tuchel menjelaskan selepas perlawanan bahawa dia menganggap Conte yang enggan bertentang mata dengannya sebagai satu sikap kurang hormat.
FA kemudian mengumumkan kedua-dua pengurus terbabit didenda selepas mengakui tuduhan berkelakuan tidak wajar sementara Tuchel dikenakan penggantungan satu perlawanan tetapi belum dijalankan sementara menunggu rayuannya.
Suruhanjaya Kawal Selia menjelaskan penilaian mereka bahawa Tuchel dipersalahkan atas pertengkaran itu.
Dalam dokumen itu, panel FA berkata: "Jelas sekali Tuchel yang mencetuskan konfrontasi di antara dirinya dan Conte dengan memilih untuk menggenggam tangan Conte dan menyentaknya dengan kuat selepas melewatinya.
“Sekiranya Tuchel tidak menggenggam tangan Conte maka konfrontasi di antara kedua-duanya dan pertelagahan berikutnya tidak akan berlaku.
"Tuchel menggenggam tangan Conte atas alasan yang dia berikan (Conte tidak memandang matanya) adalah tidak wajar; jabat tangan sepintas lalu adalah situasi biasa di penghujung perlawanan getir dan tiada kewajipan seseorang itu perlu melihat mata pihak lain sambil berjabat tangan.
"Tuchel memberitahu Conte agar memandang matanya sambil menggenggam tangannya dan tidak membenarkan Conte menjauhinya adalah tindakan yang sangat provokatif; Conte secara harfiah terjebak ke dalam konfrontasi dengan Tuchel.
"Conte memang bertindak balas secara agresif terhadap tindakan Tuchel tetapi suruhanjaya tidak menganggapnya bertindak keterlaluan terhadap keadaan itu."