Conte akur mustahil Son Heung-min kembali sebelum Piala Dunia Qatar
Astro Arena
November 5, 2022 07:16 MYT
November 5, 2022 07:16 MYT
PELUANG Son Heung-min untuk kembali ke Tottenham sebelum Piala Dunia Qatar adalah mustahil berikutan mengalami keretakan di sekitar mata kirinya, menurut pengurus Spurs, Antonio Conte.
Penyerang Korea Selatan itu mengalami kecederaan dalam kemenangan Liga Juara-Juara (UCL) ke atas Marseille, Rabu lalu, hingga perlu menjalani pembedahan selain impiannya untuk membuat kemunculan ke Qatar dalam kesamaran.
Tottenham mengalami krisis kecederaan sejak akhir-akhir ini yang menyaksikan Dejan Kulusevski, Richarlison dan Cristian Romero tidak dapat dipertaruhkan, secara langsung menyebabkan Conte kepincangan dalam soal pemilihan pemain menuju tiga perlawanan domestik sebelum Piala Dunia.
Spurs akan melayani Liverpool awal pagi Isnin ini sebelum bertandang ke Nottingham Forest untuk Piala Liga Inggeris (EFL) pada Khamis, kemudian menyambut kunjungan Leeds tetapi Conte mengesahkan Son tidak akan mengambil bahagian dalam masa terdekat.
"Sonny baru selesai menjalani pembedahannya hari ini. Sayang sekali, kasihan dia. Saya harap dia sempat pulih untuk Piala Dunia," katanya kepada Sky Sports pada Sabtu.
"Sudah pastinya untuk terbabit dalam tiga perlawanan terakhir bersama kami adalah mustahil.
"Ini bukan detik bertuah untuk kami kerana selepas Kulusevski, Richarlison dan Romero yang perlu diketepikan, kini giliran Sonny pula.
"Keadaan Lucas Moura pula tidak menentu berikutan masalah pada sarafnya. Ia bukan mudah, tetapi kami cuba menghadapi situasi itu dengan cara yang terbaik."