Conor McGregor umum bersara dari MMA... untuk kali ketiga
Haider Yutim
Jun 7, 2020 17:09 MYT
Jun 7, 2020 17:09 MYT
BINTANG UFC Conor McGregor sekali lagi mengejutkan peminat apabila mengumumkan persaraannya dari sukan seni bela diri campuran (MMA) — untuk kali ketiga.
Bekas juara dua divisyen itu membuat pengumuman tersebut di laman Twitternya pada Ahad.
"Hai, saya memutuskan untuk bersara daripada bertarung. Terima kasih semua atas kenangan yang luar biasa ini. Satu perjalanan yang menakjubkan!
“Ini saya sertakan gambar saya bersama ibu saya di Las Vegas selepas memenangi salah satu perlawanan kejuaraan dunia,” tulisnya.
McGregor, 31, sebelum ini pernah mengumumkan persaraannya sebanyak dua kali iaitu pada April 2016 dan pada Mac 2019.
Kali terakhir dia membuat kemunculan di Octagon ialah pada Januari lalu dalam aksi UFC 246 menentang Donald ‘Cowboy’ Cerrone.
Dalam pertarungan tersebut, McGregor hanya memerlukan 40 saat untuk menumbangkan Cerrone menerusi ‘technical knockout’ (TKO).
Untuk rekod, itu merupakan kemunculan pertama McGregor selepas hampir 15 bulan menyepi dari sebarang pertarungan MMA.
McGregor sebelum itu telah bertarung dengan juara lightweight UFC dari Rusia, Khabib Nurmagomedov pada Oktober 2018 dalam acara UFC 229, di mana dia tewas menerusi 'submission' pada minit 3.03 pusingan keempat.
Selepas perlawanan, timbul kekecohan yang menyebabkan McGregor dan Khabib didenda dan digantung pertarungan oleh Suruhanjaya Atlet Negeri Nevada (NSAC).
McGregor didenda sebanyak AS$50,000 (RM205,355) dan digantung enam bulan, manakala Khabib pula didenda AS$500,000 (RM2,053,953) dan digantung selama sembilan bulan.
Jaguh dari Ireland itu kini memegang rekod profesional MMA, 22 - 4.
#bersara
#Conor McGregor
#Donald Cerrone
#Khabib Nurmagomedov
#Mixed Martial Arts
#MMA
#seni bela diri campuran
#UFC